PENGENDALI Johor Darul Ta’zim (JDT), Xisco Munoz menyambut baik keputusan Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) menangguhkan seketika penggantungan 12 bulan ke atas tujuh pemain warisan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) pada September lalu.
Bagaimanapun, Munoz masih belum membuat keputusan menurunkan Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel menentang Shan United FC pada aksi Kumpulan B Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC) merebut Piala Shopee di Stadium Sultan Ibrahim, petang ini.
Katanya, misi memburu tiga mata berdepan juara Myanmar itu amat penting bagi mengukuhkan kedudukan JDT untuk melayakkan ke pusingan separuh akhir.
Tambahnya, ketiga-tiga pemain terbabit berada dalam ‘mood’ terbaik setelah kembali menyertai kem latihan Harimau Selatan bagi membuat persiapan menjelang perlawanan itu.
“Mereka sudah kembali menjalani latihan dan saya perlu meneliti dengan prestasi mereka secara lebih dekat. Setakat ini, saya masih belum membuat keputusan sama ada turunkan mereka dalam kesebelasan utama atau bermula dari bangku simpanan.
“Kita perlu faham mereka telah berehat panjang dan sudah lama tidak beraksi perlawanan kompetitif. Jadi, penting untuk mereka mendapatkan rentak semula sebelum diturunkan beraksi.
“Ini bukanlah isu besar kerana mereka pemain berkualiti, cumanya kita tidak mahu memberi tekanan kepada mereka,” katanya pada sidang media perlawanan semalam.
Ditanyai mengenai perlawanan menentang Shan United, pengendali kelahiran Sepanyol itu sudah membuat persiapan rapi dengan mengkaji corak permainan pasukan lawan dan taktikal permainan yang akan ditetapkan.
Katanya, pemain perlu bangkit daripada kekecewaan apabila seri 2-2 menentang kelab dari Kemboja, PKR Svay Rieng FC pada Disember lalu.
“Pemain perlu manfaatkan peluang di laman sendiri bagi memastikan kemenangan berpihak kepada JDT. Gunakan momentum kemenangan dalam aksi domestik pada perlawanan ini.
“Kita jangkakan satu pertembungan sengit memandangkan pasukan lawan dijangka banyak bertahan dan menunggu untuk melakukan serangan balas. Penting untuk kita terlebih dahulu membuka jaringan supaya dapat beraksi dengan tenang,” ujarnya.














