fbpx
ZII JIA dipaksa bekerja keras sebelum menang ke atas Manjunath bagi meneruskan kemaraan ke suku akhir Thailand Masters. - SHIDDIEQIIN ZON

Thailand Masters: Zii Jia kekal momentum ke suku akhir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia terus mempamerkan aksi positif apabila berjaya meneruskan kemaraan ke suku akhir pada Kejohanan Badminton Thailand Masters yang berlangsung di Bangkok.

Pemain No.79 dunia itu dipaksa bekerja keras apabila perlu bangkit daripada kekalahan awal bagi mencatat kemenangan 11-21, 21-16, 21-12 ke atas pemain kurang ternama dari India, Mithun Manjunath sebentar tadi.

Zii Jia yang baru sahaja kembali daripada rehat panjang bagaimanapun bermula agak longlai apabila memberi ruang kepada pemain lawan untuk menguasai aksi set pertama sebelum tewas mudah.

Tersentak dengan kekalahan awal, bekas juara All England itu kemudiannya memperkemaskan permainan di set kedua dan ia membuahkan hasil apabila dia menang 21-16 bagi mengheret perlawanan ke set penentuan.

Bersambung set ketiga, pemain berusia 28 tahun itu mula mendapat keyakinan sebenar dan bermain lebih tenang biarpun Manjunath beberapa kali mengintai peluang untuk memintas kedudukannya.

Sebaik sahaja mendahului 11-7, pemain kelahiran Alor Setar, Kedah itu tidak menoleh ke belakang lagi apabila mengutip mata demi mata sebelum menamatkan perlawanan dalam tempoh 52 minit.

Bagaimanapun, Zii Jia dijangka tidak berdepan laluan mudah pada pusingan suku akhir esok apabila dijadualkan bertemu pemain Indoesia, Alwi Farhan yang baru sahaja memenangi Indonesia Masters minggu lalu.

Walaupun kedua-dua pemain tidak pernah bertemu dalam mana-mana kejohanan sebelum ini, namun Alwi dilihat sebagai pilihan untuk meneruskan kemaraan ke separuh akhir berdasarkan prestasi semasa dipamerkan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN