PETALING JAYA – Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah bertitah, seluruh masyarakat adalah bertanggungjawab membantu anak-anak muda daripada golongan kurang berkemampuan.
Baginda bertitah, sehubungan itu, sebuah platform positif mesti diberikan untuk membina jati diri anak muda, agar terhindar daripada gejala sosial serta kesihatan mental serta boleh dijadikan inspirasi ke arah kerjaya masa hadapan.
“Isu ini lebih membimbangkan bagi golongan B40 kerana kemampuan yang terhad dalam mendapatkan bantuan sewajarnya.
“Kesan jangka masa panjang akibat kesihatan mental yang tidak baik bagi golongan kanak-kanak dan remaja amat merisaukan saya, kerana ia memberi kesan secara langsung kepada kesejahteraan diri mereka dan masa hadapan negara,” titah Seri Paduka Baginda.
Raja Permaisuri Agong bertitah demikian semasa melancarkan Program Ilham Seni Diraja, yang diilhamkan Seri Paduka Baginda sendiri di Istana Negara, hari ini.
Raja Zarith Sofiah bertitah, tidak semua anak muda boleh cemerlang dalam akademia semata-mata dan pasti ada yang cenderung kepada bakat kesenian.
“Saya percaya ramai mempunyai bakat terpendam namun tidak berpeluang untuk mengetengahkannya. Oleh itu, saya melancarkan program khas ini supaya anak-anak muda daripada golongan B40 tidak hanya bersekolah dan kemudian pulang ke rumah tanpa peluang mengembangkan bakat dan potensi diri yang ada.”
“Dengan memberikan peluang bertemu dan dimentor bersama penggiat seni berpengalaman luas melalui Program Ilham Seni Diraja ini, adalah diharapkan anak-anak muda akan menemui sesuatu tujuan yang positif untuk diberikan tumpuan secara membina,” titah Seri Paduka Baginda.
Seramai 200 peserta terpilih untuk menyertai program berkenaan dan mereka mengikuti latihan dan pembelajaran merangkumi enam kluster utama, iaitu Kluster Seni Suara dan Instrumen, Kluster Seni Tari, Kluster Produksi dan Pengurusan Pentas, Kluster Artistik serta Kluster Lakonan.
Persembahan utama bagi majlis tersebut menyaksikan kesemua pelajar PISD buat julung kalinya mempersembahkan nyanyian koir dipimpin oleh Datuk Syafinaz Selamat, manakala teater Puteri Seri Embun, sebuah pementasan diangkat daripada karya penulisan Raja Permaisuri Agong turut dipersembahkan.
Teater ini merupakan kemuncak bagi Program Ilham Seni Diraja yang akan menyaksikan kesemua peserta terlibat secara langsung dalam penghasilan sebuah persembahan teater yang dijadualkan berlangsung pada akhir tahun 2026. – KOSMO! ONLINE














