PUTRAJAYA- Hasil sesi dialog awam berkenaan cadangan mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri akan dibentangkan dalam Mesyuarat Kabinet untuk mendapatkan persetujuan di peringkat dasar esok.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, keputusan dasar tersebut kemudiannya akan dibentangkan pula kepada semua Ahli Parlimen.
“Ini ditawarkan oleh kerajaan Perpaduan Madani sebagai salah satu daripada kerangka akauntabiliti Madani yang kita lihat pada tahun 2026.
“Tahun ini dalam fasa untuk sidang Parlimen pada sesi yang akan datang dan ini akan jadi lepas Kabinet bersetuju esok dan dalam isu dasar.
“Kita berharap boleh mendapat sokongan Ahli Parlimen untuk membawa pindaan Perlembagaan pada sesi ini,” katanya menerusi sidang akhbar selepas Sesi Dialog Awam Kerangka Akauntabiliti Madani: Pengehadan Tempoh Jawatan Perdana Menteri di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Azalina berkata, cadangan tersebut bukan bermaksud negara kekurangan individu berkelayakan, sebaliknya bertujuan membuka ruang kepada kepimpinan baharu.
Katanya, pada masa sama juga ia bagi mengelakkan daripada sebarang bentuk salah guna kuasa oleh mana-mana pihak.
Beliau berkata, sekiranya dipersetujui Jemaah Menteri, pindaan berkenaan akan dibentangkan di Parlimen pada tahun ini, sekali gus memerlukan sokongan dua pertiga ahli Dewan Rakyat.
“Tapi bagi saya yang sangat-sangat penting ialah langkah yang diambil oleh kerajaan Perpaduan Madani di bawah kepimpinan Perdana Menteri yang mahu berbicara tentang perkara ini.
“Kita nak mendapat undi dua pertiga daripada Ahli Parlimen. Dan kalau kita nak kira semua bersetuju, satu langkah yang baik pada amalan ketelusan dan akauntabiliti dalam negara kita.
“Tapi kalau Ahli Parlimen menolak pindaan ini, pindaan Perlembagaan menunjukkan mereka tidak yakin bahawa ini sesuatu yang sangat penting,” katanya. – KOSMO! ONLINE














