ISKANDAR PUTERI – Pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) memastikan wakil Vietnam, Shan United FC (SHUFC) pulang hampa apabila berjaya menundukkan pasukan itu 3-0 pada aksi Kumpulan B Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC) merebut Piala Shopee di Stadium Sultan Ibrahim, hari ini.
Kemenangan tersebut membolehkan skuad Harimau Selatan memintas kelab Vietnam, Nam Dinh untuk berada di posisi teratas Kumpulan B selepas mengutip 10 mata daripada empat perlawanan.
Pada perlawanan itu, Xisco Munoz membariskan tiga pemain warisan Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel setelah Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) menangguhkan seketika penggantungan 12 bulan yang dikenakan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) terhadap mereka.
Seawal minit ketiga, JDT mula mengancam kubu lawan berpunca hantaran Silang Nacho Mendez kepada Jonathan Silva di sayap kiri namun rembatan yang dilakukan pemain pertahanan itu jauh tersasar.
Lima minit berselang, giliran Jairo Da Silva mencipta gerakan gol, malangnya hantaran silang ke dalam kotak penalti yang dilakukan sedikit tinggi dan gagal disempurnakan dengan baik Figueiredo.
JDT hampir memecahkan kebuntuan pada minit ke-13 setelah Jairo melonjak tinggi untuk menanduk bola ke gawang namun pemain pertahanan, Ye Min Thu berjaya mengeluarkan bola di atas garisan gol.
Bersambung babak kedua, Zin Phyo meneruskan kecemerlangan apabila menafikan percubaan berbahaya dilakukan Hector Hevel dan Yago Cesar pada awal permainan.
Kemasukan Bergson Da Silva yang menggantikan Jairo tampak berjaya memberi tonik kepada skuad Harimau Selatan yang terus ghairah untuk memburu gol pembukaan.
Bergson hampir mencipta gol menerusi sentuhan pertamanya dalam perlawanan itu namun tandukan yang dilakukan pada minit ke-60 sedikit tersasar.
Gol yang diburu JDT hadir pada minit ke-65 setelah sepakan sudut yang diambil Cesar disempurnakan oleh Oscar Arribas bagi meletakkan JDT di hadapan.
Seminit berselang, giliran Bergson mencipta jaringan setelah memanfaatkan umpanan Figueiredo dan melepas rembatan lerek menewaskan Zin Phyo buat kali kedua pada perlawanan itu.
Penyerang kelahiran Brazil itu terus mempamerkan bisanya apabila meledak gol kedua peribadinya apabila menyempurnakan sepakan sudut yang diambil Hevel pada minit ke-70.
Ayam tambatan JDT untuk berusaha keras untuk melengkapkan jaringan hatriknya namun hasratnya tidak kesampaian setelah tiada pertambahan gol berjaya dihasilkan.
Skuad Harimau Selatan akan berdepan Nam Dinh pada aksi terakhir peringkat kumpulan bagi merebut kedudukan pertama pada 5 Februari depan.-KOSMO! ONLINE














