KUALA LUMPUR – Penggunaan teknologi dron oleh Jabatan Imigresen (JIM) berjaya mengesan beberapa individu yang cuba meloloskan diri dengan bersembunyi di atas bumbung bangunan dalam Ops Sapu Bersepadu di sebuah pusat komersial di Taman Emas, malam ini.
Dalam operasi selama tiga jam bermula pukul 7 malam itu, ada warga asing dilihat lari bertempiaran sebaik menyedari kehadiran pegawai penguat kuasa.
Malah terdapat beberapa individu bertindak bersembunyi di atas bumbung sambil membawa bersama seorang kanak-kanak berusia kira-kira 12 tahun, sekali gus membahayakan keselamatan diri dan kanak-kanak terbabit.
Bagaimanapun, cubaan berkenaan berjaya dipatahkan apabila pergerakan suspek dikesan melalui pemantauan dron milik Imigresen yang diterbangkan bagi menjejaki individu yang melarikan diri dan bersembunyi di kawasan berisiko.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Imigresen, Datuk Lokman Effendi Ramli berkata, penggunaan teknologi yang digunakan oleh pihaknya amat membantu dalam mengesan warga asing bersembunyi.
“Kita mendapati bahagian bawah premis berkenaan menempatkan kedai manakala tingkat merupakan tempat tinggal warga asing,” katanya kepada pemberita malam ini.
Lokman berkata, seramai 279 pegawai Imigresen dan 10 orang daripada Jabatan Pendaftaran Negara terlibat dalam operasi berkenaan.
“Pada operasi ini, kita telah melakukan pemeriksaan lebih daripada 1,000 individu termasuk warga tempatan dan daripada jumlah itu seramai 218 warga asing telah ditahan,” katanya.
Beliau berkata, mereka yang ditahan terdiri daripada 166 lelaki dan 52 wanita melibatkan warga asing dari Indonesia, Bangladesh, India, Myanmar, Nepal, Sri Lanka dan Nigeria.
“Kita percaya mereka melakukan pelbagai kesalahan Imigresen antara kesalahan tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah serta menyalahgunakan pas,” ujarnya.
Menurutnya, operasi itu dijalankan hasil risikan selama kira-kira dua minggu selain maklumat yang diterima daripada orang awam.
“Kesemua warga asing yang ditahan dibawa ke Depot Imigresen Semenyih bagi siasatan lanjut dan tindakan susulan. – KOSMO! ONLINE














