fbpx
Kumar

Ops Pintas Khas: 138 mangsa pemerdagangan orang diselamatkan, 67 ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Seramai 138 mangsa pemerdagangan orang termasuk kanak-kanak berjaya diselamatkan manakala 67 individu disyaki majikan serta penyelia ditahan dalam Op Pintas Khas (Pemerdagangan Orang) yang dilancarkan secara serentak di seluruh negara, semalam.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, operasi bersepadu itu dilaksanakan oleh Bahagian D3 JSJ Bukit Aman dengan penglibatan 14 kontinjen polis serta kerjasama strategik pelbagai agensi penguatkuasaan.

Menurut beliau, antara agensi terlibat ialah Pejabat Strategik Nasional Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran Kementerian Dalam Negeri, Jabatan Imigresen, Jabatan Tenaga Kerja, Kementerian Kesihatan, Jabatan Alam Sekitar dan pihak berkuasa tempatan.

“Fokus utama operasi ini adalah bagi mengenal pasti mangsa pemerdagangan orang khususnya melibatkan eksploitasi buruh di sektor perladangan kelapa sawit, pembuatan sarung tangan getah dan lain-lain.

“(Ia melibatkan) dalam kalangan golongan rentan, wanita dan kanak-kanak dengan berpandukan National Guideline on Human Trafficking Indicators (NGHTI) 2.0,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, operasi itu melibatkan serbuan serentak ke atas 77 lokasi di seluruh negara, merangkumi 12 premis sektor perkilangan, sektor perladangan (19), sektor perkhidmatan dan perniagaan (41) serta lain-lain sektor (lima).

“Hasil operasi, seramai 138 mangsa berjaya diselamatkan di bawah Seksyen 44 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Akta 670).

“Mangsa terdiri daripada 58 lelaki dan 23 perempuan dewasa berusia antara 18 hingga 51 tahun, selain 39 kanak-kanak lelaki dan 18 kanak-kanak perempuan berusia antara 12 hingga 17 tahun,” katanya.

Beliau berkata, mangsa yang diselamatkan melibatkan pelbagai warganegara iaitu lapan warga Malaysia, warga Filipina (lapan), warga Indonesia (34), warga Bangladesh (13) dan warga Myanmar (75).

“Antara mangsa yang diselamatkan seorang kanak-kanak lelaki merupakan orang kurang upaya (pekak dan bisu),” jelasnya.

Menurut beliau, antara indikator buruh paksa dan pemerdagangan orang yang dikenal pasti ialah eksploitasi kerentanan, perdayaan, kawalan pergerakan, pengurungan, penahanan dokumen identiti, penahanan gaji, kondisi kerja dan tempat tinggal yang terabai serta kerja lebih masa yang melampau.

Dalam perkembangan sama, Kumar berkata, seramai 67 individu berusia antara 30 hingga 69 tahun ditahan dalam operasi berkenaan terdiri daripada 57 lelaki dan 10 wanita.

“Daripada jumlah itu, 42 adalah warga tempatan manakala 25 warga asing yang disyaki bertindak sebagai majikan” ujarnya.

Beliau berkata, kesemua tangkapan dibawa ke ibu pejabat polis daerah berkaitan untuk siasatan lanjut mengikut peruntukan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 serta Akta Imigresen 1959/63.

Jelasnya, kes disiasat antaranya di bawah Seksyen 12 dan Seksyen 14 ATIPSOM 2007, selain Seksyen 6(1)(c), 15(1)(c), 55B dan 55E Akta Imigresen 1959/63.

“Polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam jenayah pemerdagangan orang,” tegasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI