MELAKA – Sebanyak 85 buah kenderaan mewah disita Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka menerusi Ops Luxury yang dilaksanakan sejak Januari 2025 hingga 27 Januari lalu.
Pengarah JPJ Melaka, Siti Zarina Mohd. Yusop berkata, dalam tempoh tersebut sebanyak 579 kenderaan diperiksa dengan 85 daripadanya diambil tindakan dan disita di bawah Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Kenderaan jenis Mercedes-Benz merekodkan jumlah sitaan tertinggi iaitu 20 buah, diikuti Toyota Vellfire (16), BMW (12), Toyota Alphard (10) serta lain-lain jenis kenderaan mewah.
“Kesalahan Lesen Kenderaan Bermotor (LKM) tamat tempoh dan ketiadaan perlindungan insurans dikenal pasti sebagai kesalahan paling kerap dikesan sepanjang penguatkuasaan dijalankan,” katanya pada sidang akhbar selepas melaksanakan operasi bersepadu bersama agensi di sini, malam tadi.
Tambahnya lagi, dalam tempoh Januari ini sahaja, sebanyak 17 kenderaan mewah telah disita atas kesalahan yang sama.
Terdahulu, dalam operasi itu sebanyak 395 buah kenderaan telah diperiksa dan 120 kenderaan didapati melakukan pelbagai kesalahan.
“Sebanyak 244 notis telah dikeluarkan sepanjang operasi dijalankan dengan Notis JPJ P22 mencatatkan jumlah tertinggi iaitu sebanyak 210 notis, di mana 186 notis telah dikeluarkan kepada penunggang motosikal ,manakala baki sebanyak 24 notis dikeluarkan kepada kenderaan lain.
“Pada malam ini (tadi) kita turut menyita sebanyak lima buah kenderaan iaitu empat motosikal dan sebuah motokar yang dikesan melakukan pelbagai kesalahan, antaranya LKM tamat tempoh dan tiada perlindungan insurans,” ujarnya.-KOSMO! ONLINE.














