PETALING JAYA – Kegiatan pengimportan sisa elektronik (e-waste) secara haram berada pada skala amat membimbangkan apabila didalangi syarikat-syarikat dipercayai dimiliki warga asing selain Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak menolak kemungkinan wujud perlindungan daripada pihak berkuasa tertentu.
Susulan risikan mendapati sebanyak 2,000 hingga 3,000 kontena disyaki dibawa masuk secara haram melalui pelabuhan utama.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya dipetik berkata, syarikat-syarikat terbabit mengimport sisa elektronik, plastik dan kertas, namun hanya komponen bernilai tinggi seperti tembaga, aloi dan emas diambil
Menurut beliau, baki sisa itu kemudian dilupuskan secara tidak terkawal termasuk dibakar, ditanam atau dibuang sehingga berpotensi mencemarkan udara dan air.
Sebanyak 16 akaun bank bernilai nilai kira-kira RM10.2 juta dibekukan SPRM susulan siasatan kes rasuah dalam pemprosesan e-waste, pembuangan sisa efluen serta buangan berjadual di Selangor dan Negeri Sembilan.
Selain itu, seorang pengarah syarikat yang disiasat oleh Bahagian Siasatan Ibu Pejabat SPRM telah disambung reman sehingga esok.
Sejumlah RM87,000 wang tunai dan barangan kes bernilai kira-kira RM220,000 juga telah disita termasuk kereta dan barang kemas.
Hari ini, Ketua Pengarah (KP) dan Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes berkaitan isu e-waste kira-kira pukul 6.30 petang tadi selepas hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.
Berikut adalah kronologi berkait siasatan dan Op Nature kes tersebut:
20 Januari 2026: SPRM melancarkan Op Nature dengan menyerbu tujuh kilang e-waste dan menahan enam pemilik dan orang tengah disyaki memproses e-waste haram dan merasuah penguat kuasa antara RM2,000 hingga RM50,000.
21 Januari 2026: Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya mendedahkan aktiviti penyeludupan sisa elektronik (e-waste) ke negara ini dipercayai semakin membimbangkan apabila sebanyak 2,000 hingga 3,000 kontena disyaki dibawa masuk secara haram melalui pelabuhan utama.
22 Januari 2026: SPRM membekukan 14 akaun syarikat yang terlibat dalam sindiket pemprosesan e-waste haram yang aktif selama lima tahun.
26 Januari 2026: Jumlah akaun bank dibekukan meningkat kepada 16 serta bernilai RM10.2 juta. Seorang pegawai kanan JAS dan pengarah syarikat direman kerana melindungi kilang tersebut.
29 Januari 2026: Bekas ahli lembaga pengarah syarikat pelupusan e-waste didakwa di Mahkamah Sesyen.
29 Januari 2026: Ketua Pengarah dan Timbalan Ketua Pengarah JAS ditahan bagi membantu siasatan berhubung isu e-waste. – KOSMO! ONLINE














