fbpx
Rabiatul dan suaminya, Ahmad Fadhil berfikir di luar kotak apabila menghasilkan 'walker' bayi menggunakan paip PVC sehingga menerima tempahan daripada orang ramai.

Kreatif hasilkan ‘walker’ bayi guna paip PVC, tak menang tangan terima tempahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Bermula daripada rasa risau melihat anak lelaki hampir setahun masih belum berjalan, sepasang suami isteri tampil dengan idea luar biasa apabila menghasilkan ‘walker’ (alat bantu jalan) bayi hanya dengan menggunakan paip PVC.

Bukan itu sahaja, perkongsian tular di aplikasi TikTok turut membuka lembaran baharu buat keluarga yang menetap di Jitra, Kedah itu apabila mula menerima tempahan, sekali gus menjadi salah satu sumber pendapatan buat mereka.

Rabiatul Adawiyah Thal’hah, 28, berkata, idea itu tercetus apabila dia dan suaminya, Ahmad Fadhil Muhammad Zulkaflee, 28, mula bimbang melihat anak lelaki mereka masih belum dapat menapak dengan stabil walaupun sudah boleh berdiri.

“Anak saya boleh berdiri tapi macam tak dapat menapak betul-betul, saya risau juga. Saya cari di TikTok dan ternampak orang Indonesia buat ‘walker’ sendiri siap bagi ukuran.

“Jadi saya cuba buat untuk anak, ambil masa lebih kurang lima hari siap. Bila anak guna, dia jadi lebih yakin nak melangkah dan kurang jatuh. Selepas lima hari alhamdulillah anak tiba-tiba boleh berjalan sendiri,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Menurutnya, selepas melihat keberkesanan ‘walker’ buatan sendiri itu, dia memuat naik video sekadar berkongsi pengalaman, namun tidak menyangka ia mula tular pada Disember lalu sehingga menerima banyak pertanyaan daripada pengguna media sosial.

“Saya pun tanya suami, boleh ke kalau kita jual? Ingatkan orang tanya sekadar satu dua. Rupanya ramai yang nak sebab mereka kata ‘walker’ biasa ada yang anak jadi malas berjalan sebab ada tempat duduk, atau jenis tolak pun tak sesuai,” ujarnya.

Rabiatul dan suami yang merupakan peniaga kecil berkata, permintaan yang meningkat menyebabkan mereka mula menghasilkan ‘walker’ secara kecil-kecilan, namun proses menyiapkan setiap unit bukan semudah disangka kerana perlu disesuaikan mengikut ukuran anak pelanggan.

“Permulaan dulu sehari boleh buat dalam lima unit, tapi sebenarnya bukan senang. Kena ikut ukuran permintaan pelanggan, dari kaki sampai ke dada. Memang penat sangat sebenarnya.

“Bulan Januari lagi sibuk sampai kami terpaksa hadkan tempahan. Sekarang kami buat sistem pra-tempah. Itu pun dengan harga RM40 kami jual, ada yang kata mahal sebab mereka kata modal guna paip PVC murah,” ujarnya.

Ibu kepada seorang anak itu menjelaskan mereka memilih bahan paip PVC tebal yang biasa digunakan untuk paip air bagi memastikan struktur lebih kukuh agar bayi tidak mudah jatuh.

“Selain itu, kami tambah roda. Setakat ini, saya belum nampak yang guna roda macam ini. Itu antara sebab ramai minat. Saya rasa kami sahaja yang buat ‘walker’ PVC macam ini setakat ini di Malaysia.

“Alhamdulillah, setakat ini maklum balas pelanggan sangat baik. Ramai kata anak lebih stabil dan tak mudah tersadung. Kami pun pastikan bahagian sambungan kemas, tak ada yang tajam,” ujarnya.

Menurutnya, sejak Disember hingga hujung Januari, mereka telah berjaya menyiapkan kira-kira 40 unit dan kini menghantar tempahan ke seluruh negara.

Dalam pada itu, Rabiatul berkata, selain ‘walker’ bayi, mereka turut menerima cadangan pelanggan untuk menghasilkan variasi produk PVC lain seperti tongkag untuk warga emas serta buaian kanak-kanak, namun perkara itu masih dalam peringkat perancangan.

Dalam masa yang sama, Rabiatul turut berharap lebih ramai orang di luar sana berani tampil dengan pelbagai idea dan kreativiti bagi menjana pendapatan serta memperkukuh ekonomi keluarga.

“Benda yang kita buat untuk anak sendiri, bila kita kongsi rupanya boleh beri manfaat pada orang lain. Alhamdulillah ini tambah cabang rezeki. Untung pun tak banyak sebab modal tinggi, tapi kami gembira kalau boleh bantu,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN