PETALING JAYA – Perkongsian seorang lelaki mengenai kenangan zaman persekolahannya pada tahun 1999 mencuit hati pengguna media sosial.
Menerusi perkongsian lelaki itu di Thread, dia didenda berdiri di atas meja gara-gara menyangka Pengarah Filem, Yusof Haslam ialah Ketua Polis Negara pada ketika itu.
“Kerana fanatik drama gerak khas aku kena berdiri atas meja masa sekolah rendah pada tahun 1999.
“Gara-gara cikgu soal siapa ketua polis negara aku jawab Yusof Haslam,” tulis hantaran itu.
Tinjauan di ruang komen mendapati rata-rata pengguna terhibur dengan perkongsian itu selain ada juga yang berkongsi turut menyangka pengarah itu merupakan polis sebenar.
“Masa kecik memang aku pun ingat dia Ketua Polis. Siap tanya arwah bapa, dia jawab bukan. Banyak persoalan dalam kepala masa tu, rupanya itu berlakon,” kata Fahmee.
“Aku pun dulu ingat memang dia Ketua Polis Negara, pastu buat ‘job’ pengarah sekali sebab cable besar. Umur 20 baru tahu lepas kena bahan dengab kawan,” kongsi Kaya.
“Ketua Polis yang paling popular di Malaysia,” kata Vilasini.
Sehingga kini, perkongsian itu meraih lebih 6,000 tanda suka. – KOSMO! ONLINE














