fbpx
Pihak imigresen ketika melakukan pemeriksaan di pusat kecantikan dan spa dalam operasi khas di sekitar ibu negara, kelmarin. FOTO IHSAN JIM

Imigresen serbu spa ‘double servis’, 19 warga asing dicekup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Kegiatan tidak bermoral yang berselindung di sebalik lesen sah pusat kecantikan dan spa terbongkar apabila Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan 19 wanita warga asing dalam satu operasi khas di empat lokasi sekitar ibu negara dan Puchong, Selangor, kelmarin.

Operasi yang dijalankan oleh Bahagian Perisikan dan Operasi Khas itu bermula pada pukul 2.44 petang hasil risikan selama dua minggu ke atas beberapa premis yang disyaki menjalankan aktiviti tidak bermoral secara sulit.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, pihaknya menahan 12 wanita warga Filipina, enam warga Vietnam dan seorang warga Mongolia berusia antara 22 hingga 48 tahun yang dipercayai bekerja di premis berkenaan.

Katanya, semakan awal mendapati tiga warga Vietnam memiliki Pas Lawatan Sosial, seorang warga Mongolia memegang Pas Pelajar, manakala 12 warga Filipina menggunakan Pas Pembantu Rumah, namun disyaki disalahgunakan untuk bekerja di spa berkenaan.

“Warga asing yang lain tidak memiliki sebarang pas atau dokumen perjalanan yang sah untuk berada di negara ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, pasukan operasi turut menyita sembilan pasport Filipina, pasport Vietnam (tiga) dan pasport Mongolia (satu).

“(Turut disita), lima telefon bimbit, pengimbas bayaran kod QR, buku rekod pekerja, buku urus niaga, lesen perniagaan, dokumen Suruhanjaya Syarikat Malaysia serta wang tunai RM1,500 yang dipercayai hasil kegiatan tidak bermoral,” ujarnya.

Katanya, premis berkenaan menawarkan rawatan kecantikan dan urutan biasa bagi mengaburi pihak berkuasa, manakala perkhidmatan tambahan hanya ditawarkan kepada pelanggan terpilih menggunakan kod rahsia.

“Kegiatan ini tidak diiklankan secara terbuka, sebaliknya dipromosikan melalui Telegram dan Whatsapp kepada pelanggan yang terpilih sahaja,” katanya.

Beliau berkata, ruang dalaman premis turut diubah suai dan dilengkapi sistem keselamatan ketat dengan kadar bayaran antara RM180 hingga RM250 dan dipercayai beroperasi sejak Mac tahun lalu.

Katanya, kesemua warga asing yang ditahan dibawa ke Pejabat Imigresen Putrajaya untuk tindakan lanjut di bawah Akta Imigresen 1959/63, manakala tujuh lelaki warga tempatan diberikan notis untuk hadir membantu siasatan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI