fbpx
HADJAR tidak mengalami kecederaan serius dalam kemalangan sewaktu sesi ujian tertutup awal pagi semalam. - AFP

Hadjar kemalangan jejas persiapan Red Bull

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BARCELONA – Persiapan Red Bull Racing menghadapi musim baharu Formula Satu (F1) terganggu apabila pemandunya, Isack Hadjar terlibat dalam kemalangan sewaktu sesi ujian tertutup awal pagi semalam.

Hadjar yang mengendalikan mesin baharu RB22 gagal mengawal jentera 2026 itu dalam keadaan litar basah sebelum terbabas dan merempuh dinding penghadang di selekoh terakhir.

Insiden tersebut mengakibatkan kerosakan ketara pada bahagian belakang jentera, sekali gus memaksa sesi ujian pemandu muda kelahiran Perancis itu ditamatkan serta-merta.

Memandangkan ujian dijalankan secara tertutup, punca sebenar kejadian sama ada disebabkan kesilapan pemandu atau masalah teknikal pada jentera masih belum dapat disahkan buat masa ini.

Prinsipal Red Bull, Laurent Mekies menjelaskan, pihaknya kini sedang menilai semula jadual ujian susulan kerosakan yang dialami bagi menentukan tindakan selanjutnya.

Penilaian itu kritikal memandangkan peraturan menetapkan setiap pasukan hanya dibenarkan menjalani ujian selama tiga hari, manakala Red Bull telah pun melengkapkan dua hari sesi berkenaan pada Isnin dan Selasa.

“Kami memperoleh data berguna di litar basah, namun malangnya ia tidak berakhir dengan baik. Apa yang penting Isack selamat dan kami akan berusaha membaiki jentera untuk melihat langkah seterusnya.

“Keadaan litar petang tadi sangat sukar, jadi agak malang ia berakhir begini, tetapi itulah sebahagian daripada adat perlumbaan yang perlu dihadapi,” katanya.

Mekies bagaimanapun tetap memuji komitmen pasukan membangunkan unit kuasa baharu bersama Ford dan menyifatkan jentera RB22 memulakan sesi ujian dengan baik dan satu pencapaian yang membanggakan. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN