fbpx
FILEM pendek Marini dipilih Kementerian Pendidikan Itali untuk ditayangkan di negara itu selama enam bulan sebagai bahan pembelajaran berfokuskan isu sosial dan kemanusiaan.

Filem pendek Malaysia, Marini diangkat di Itali

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MELAKA – Filem pendek Malaysia berjudul Marini mengharumkan nama negara apabila dipilih sebagai bahan tayangan rasmi dalam program pendidikan filem anjuran Kementerian Pendidikan Itali.

Filem arahan dan skrip oleh Cech Adrea itu terpilih di bawah inisiatif Cinema and Images for School Programmes (CIPS), sebuah program pendidikan nasional yang digerakkan secara bersama oleh Kementerian Kebudayaan dan Kementerian Pendidikan Itali.

Menerusi program itu, pelajar sekolah di seluruh Itali akan menghadiri tayangan filem terpilih di pawagam sebagai sebahagian daripada platform pembelajaran berfokuskan isu sosial dan kemanusiaan.
Filem pendek Marini berkisarkan impian seorang pelajar perempuan untuk menjadi pemain bola sepak profesional, namun berdepan pelbagai konflik dalam dunia sukan tempatan yang didominasi lelaki.

Menurut Cech Andrea, Marini akan ditayangkan di pawagam terpilih serta dijadikan bahan perbincangan dan kajian dalam kalangan pelajar sepanjang tahun akademik.

“Saya dimaklumkan Program CIPS merupakan sebahagian daripada Pelan Nasional Itali bagi Pendidikan Filem dan Audiovisual yang bertujuan memperkukuh literasi visual serta pemahaman layar perak dalam kalangan pelajar.

“Ini merupakan satu pencapaian dan penghargaan besar buat semua yang terlibat dalam Marini apabila filem ini mendapat pengiktirafan meluas di peringkat antarabangsa, khususnya dalam konteks pendidikan dan wacana sosial,” katanya kepada Kosmo! hari ini.

Tambahnya, Marini akan ditayangkan sepanjang tempoh enam bulan bermula Januari hingga Jun 2026.

Mengulas lanjut Cech memberitahu, sebelum ini, Marini telah menerima status Official Selection di beberapa festival filem antarabangsa termasuk Bali International Film Festival (Balinale) 2025, Cinefoot Brazil Football Film Festival, Religion Today Film Festival dan Grandoff Film Festival Warsaw.

“Selain itu, Marini turut memenangi Anugerah Pilihan Penonton di Blackpool Short Film Festival, sekali gus menambah ‘koleksi’ pencapaiannya di peringkat antarabangsa,” katanya.

Terdahulu, filem pendek tersebut telah diarahkan oleh Haziqah Azemi; Pengarah Fotografi, Seha Msl; Penyunting, Johan Ariff Mazlan; Pereka Bunyi; Afiq Salleh dan pelakon; Hazirah Norizan, Kirin Muhamad, Intan Nor Saina, Khal Isyaf, Hazzy Alzeeq, Rashid Akhmal, Faroz Anand dan Yazid Sobri. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI