PETALING JAYA – Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) menegaskan kepentingan pelaksanaan segera terhadap syor tindakan tatatertib serta penambahbaikan sistem dan prosedur dalaman bagi memperkukuh tadbir urus berintegriti dalam agensi penguat kuasa.
EAIC berkata, pendirian itu sejajar dengan ketegasan yang disuarakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung keperluan memperkukuh integriti dalam kalangan penjawat awam khususnya agensi penguatkuasaan.
“Teguran itu adalah sejajar dengan pemantauan dan siasatan EAIC terhadap salah laku.
“(Ini) termasuk penyalahgunaan kuasa serta kelemahan dalam ekosistem tadbir urus integriti perkhidmatan awam, khususnya agensi penguatkuasaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, EAIC turut merujuk semula kes-kes tatatertib yang tidak atau belum diambil tindakan kepada Pihak Berkuasa Tatatertib berkenaan dan akan dipanjangkan kepada ketua perkhidmatan yang berkenaan untuk diambil tindakan segera.
“Tindakan tegas dan pematuhan oleh ketua-ketua jabatan merupakan kunci utama dalam memperkukuh integriti penguatkuasaan serta memulihkan kepercayaan rakyat terhadap institusi negara.
“Penyeludupan, rasuah, kegiatan gelap bukan sahaja menjejaskan kredibiliti agensi, tetapi juga merupakan pengkhianatan terhadap kepentingan rakyat dan negara serta tidak boleh diterima atau dinormalisasikan dalam apa jua keadaan,” ujarnya
Semalam, Kosmo! melaporkan, Anwar memberi tempoh seminggu kepada pimpinan badan penguat kuasa di negara ini untuk melaksanakan tugas masing-masing dengan baik.
Menurut Anwar, jika pimpinan penguat kuasa terbabit tidak mampu melaksanakan tugas itu, mereka boleh bersedia untuk diletakkan di jawatan yang lebih rendah atau tanggungjawab lebih kecil.
Menurutnya, beliau mengakui sudah hilang sabar dengan pelbagai isu rasuah, salah guna kuasa dan tatakelola yang berlaku dalam negara ketika ini. – KOSMO! ONLINE














