KUALA LUMPUR -Kerajaan melancarkan Dasar Keterjaminan Makanan 2023-2030 (DKMN 2030) sebagai pelan strategik komprehensif bagi memperkukuh kedaulatan serta keterjaminan bekalan makanan negara untuk tempoh lima hingga tujuh tahun akan datang.
Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, dasar itu akan memberi tumpuan kepada dua agenda utama iaitu mengekalkan kuasa beli rakyat dan mengurangkan kebergantungan terhadap import barangan makanan.
“Kita mahu mencari jalan untuk mengurangkan import barangan seperti ubi kentang dan soya yang buat masa ini sukar dielakkan.
“Pada masa yang sama, kementerian akan mempergiat usaha meningkatkan eksport produk tempatan yang mempunyai permintaan tinggi seperti durian, nangka, dan kelapa,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Peluncuran Dasar Keterjaminan Makanan Negara 2030 di sini hari ini.
Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Fadillah Yusof dan Timbalan Menteri KPKM, Datuk Chan Foong Hin.
Dalam pada itu, Mohamad memaklumkan tahap keterjaminan bekalan beras negara ketika ini berada pada paras 50 peratus sekali gus berisiko sekiranya berlaku sebarang krisis luar jangka di peringkat global.
“Kita perlu membawa teknologi smart farming(pertanian pintar) terutamanya dalam sektor padi.
“Bergantung kepada beras import semata-mata kerana harganya yang murah sekarang adalah tidak selamat untuk jangka masa panjang. Kita perlu bersedia di peringkat domestik,” katanya.
Selain itu beliau berkata, KPKM juga sedang berbincang dengan kerajaan-kerajaan negeri untuk menangani isu himpitan pembangunan bagi memastikan kawasan pertanian, khususnya sawah padi, dapat dipertahankan dan dipertingkatkan hasilnya.
“Kita juga mahu tumpukan kepada isu pembaziran makanan, terutama sekali semasa bulan puasa nanti.
“Saya lihqt Jepun dan Thailand nampak agak mendahului. Jika kita pergi ke Thailand, di hotel lima bintang pun dia letak di atas meja kita ‘jangan bazirkan makanan’, ‘don’t waste food’, di Jepun jiga begitu. Jadi, kita harap dengan kempen ini akan berlaku kekurangan pembaziran,” katanya. – KOSMO! ONLINE














