fbpx
Nasiruddin berkerusi roda ketika hadir ke Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini. Foto oleh AFIQ RAZALI/KOSMO!

Bekas CEO, akauntan GISBH kena 331 pertuduhan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SHAH ALAM – Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) GISB Holdings Sdn. Bhd (GISBH) dan tiga bekas akauntannya dikenakan 331 pertuduhan penggubahan wang haram (AMLA) bernilai lebih RM38.1 juta di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Ini melibatkan Nasiruddin Mohd. Ali, 67, sebanyak 77 pertuduhan berjumlah RM10,084,323.70 dan Hamimah Yakub, 74, dengan 95 pertuduhan bernilai RM11,428,811.20.

Pasangan suami isteri iaitu Asmat @ Asmanira Muhammad Ramly, 46, pula 68 pertuduhan bernilai RM4,688,205.01 sementara 91 pertuduhan berjumlah RM11,958,561.10 bagi Mohd. Khushairi. Osman, 55.

Perkara itu dimaklumkan Timbalan Pendakwa Mohd. Ashrof Adrin Kamarul untuk dibicarakan bersama dalam prosiding pengurusan kes di hadapan Hakim Datin Fatimah Zahari.

Kesemua pertuduhan itu dipindahkan dari Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Johor Bharu dan Kulim selain Shah Alam.

Pertuduhan bagi kesemua kesalahan itu dibuat mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA) yang boleh dihukum dibawah Subseksyen (4)1 akta sama.

Sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 15 tahun dan denda lima kali ganda jumlah atau nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi.

Pada prosiding itu, Mohd. Ashrof berkata, pihaknya mengemukakan dokumen di bawah Seksyen 51A Kanun Tatacara Jenayah setebal 10,000 muka surat.

“Dokumen sudah pun dilengkapkan untuk keempat-empat tertuduh, saya percaya peguam memerlukan masa untuk meneliti kesemua dokumen tersebut,” katanya.

Peguam Datuk Rosli Kamaruddin mewakili Mohd. Nasirudin, Asmat @ Asmanira dan Md. Khushairi memaklumkan telah menerima arahan daripada anak guamnya supaya meneliti kesemua dokumen tersebut bagi mengemukakan representasi kepada Jabatan Peguam Negara.

Justeru, beliau memberitahu, memerlukan empat bulan dan mencadangkan tarikh sebutan semula pada 4 atau 5 Mei depan bagi sebutan keputusan representasi.

“Kami sudah menerima dokumen dalam bentuk CD. Paling cepat untuk saya teliti dokumen tersebut adalah tiga minggu dari tarikh hari ini.

“Seperti representasi berkaitan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA), ia mengambil masa sehingga sembilan bulan. Jadi, saya percaya bagi permohonan kali ini keputusan representasi akan mengambil masa sehingga tiga bulan,” jelasnya.

Sementara itu, peguam Datuk Mohd. Khair Yakub yang mewakili Hamimah memohon agar jaminan yang dikenakan di Mahkamah Sesyen Kulim diteruskan di Mahkamah Sesyen di sini selepas wang jaminan dipulangkan susulan pemindahan kes untuk dibicarakan serentak.

Mahkamah kemudiannya membenarkan jaminan RM5,000 diteruskan kepada Hamimah bersama syarat tambahan termasuk melaporkan diri di Ibu pejabat Polis Bukit Aman, tidak mengganggu saksi pendakwaan serta memaklumkan sebarang pertukaran alamat.

Sebutan semula kes termasuk bagi keputusan representasi ditetapkan 5 Mei depan.

Kosmo! pada 11 November tahun lalu melaporkan sejumlah 230 pertuduhan penggubahan wang haram (AMLA) bernilai lebih 2.41 juta yang dilakukan keempat-empat tertuduh di Selangor dibicarakan serentak di Mahkamah Sesyen.

Selain itu, Hamimah turut didakwa 35 pertuduhan berjumlah RM9.28 juta di Mahkamah Sesyen Kulim dan Asmat @Asmanira dengan 22 pertuduhan (RM881, 813) di Mahkamah Johor Bharu serta 40 pertuduhan bernilai RM3.82 juta batu Mohd. Khushairi di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI