fbpx
Gambar fail kapal induk USS Abraham Lincoln (kiri) di Selat Hormuz pada 19 November 2019. - AFP

AS teruskan provokasi, lancar latihan ketenteraan di Asia Barat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

WASHINGTON – Amerika Syarikat (AS) mengumumkan rancangan untuk mengadakan latihan ketenteraan selama beberapa hari di Asia Barat ketika ketegangan dengan Iran semakin meningkat berhubung risiko serangan ke atas negara itu, lapor akhbar The Guardian kelmarin.

Perkara itu diumumkan selepas Presiden Donald Trump pada hujung minggu lalu berkata, Washington mengerahkan armada yang diketuai kapal pengangkut pesawat, USS Abraham Lincoln ke rantau tersebut.

Menurut Pusat Perintah AS (CENTCOM), armada tersebut telah tiba di Asia Barat Isnin lalu.

Kapal itu mengangkut puluhan jet pejuang dan hampir 5,000 kelasi, diiringi oleh beberapa kapal pemusnah peluru berpandu yang membawa pertahanan udara untuk melindungi kumpulan serangan tersebut.

Pusat Tentera Udara (AFCENT) yang merupakan komponen udara bagi CENTCOM berkata, ia akan mengadakan latihan kesediaan selama beberapa hari bagi menunjukkan keupayaan untuk mengerah, menyebar dan mengekalkan kuasa tempur di seluruh kawasan di bawah tanggungjawabnya.

“Latihan ini akan membolehkan anggota udara membuktikan bahawa mereka boleh menyebarkan, mengendalikan dan menjana serangan tempur di bawah keadaan yang mencabar dengan selamat, tepat dan bersama rakan kongsi kami,” kata komander AFCENT, Leftenan Jeneral Derek France.

Tarikh, lokasi dan senarai aset ketenteraan yang akan mengambil bahagian dalam latihan tersebut bagaimanapun belum didedahkan kepada umum. 

France menambah, sebagai sebahagian daripada latihan itu, pasukannya akan dikerahkan ke pelbagai lokasi untuk melaksanakan prosedur persediaan, pelancaran dan pemulihan pantas. 

“AFCENT mahu menyatakan bahawa semua aktiviti dijalankan dengan persetujuan negara tuan rumah dan dengan penyelarasan bersama pihak berkuasa penerbangan awam dan tentera,” tambahnya.

Pelaksanaan latihan itu diumumkan selepas White House berkata, AS berkemungkinan melancarkan serangan baharu ke atas Iran ekoran tindakan keras kerajaan terhadap penunjuk perasaan yang telah menyebabkan beribu-ribu orang terkorban dan ramai lagi ditahan.

Trump mengancam untuk menyerang Iran sekiranya negara itu melaksanakan hukuman mati beramai-ramai atau membunuh penunjuk perasaan semasa protes yang tercetus mengenai penyusutan nilai mata wang riyal pada Disember tahun lalu. 

Namun, beliau kemudiannya menarik balik ancaman itu, sekurang-kurangnya buat sementara waktu, dengan berkata, ‘pembunuhan telah dihentikan’.

Bagaimanapun, sehingga minggu lalu, Trump mencadangkan bahawa serangan masih boleh berlaku, dengan kumpulan penyerang kapal induk dihantar ke Asia Barat sebagai langkah berjaga-jaga.

Sementara itu, Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) Iran mengeluarkan amaran kepada negara-negara jirannya agar tidak bersekongkol dengan AS.

“Negara-negara jiran adalah rakan kita, tetapi jika tanah, langit atau perairan mereka digunakan untuk menentang Iran, mereka akan dianggap bermusuhan,” kata Timbalan Politik Tentera Laut IRGC,Mohammad Akbarzadeh.

Kementerian Luar Arab Saudi sebelum itu berkata, Putera Mahkota, Putera Mohammed bin Salman telah berjanji kepada Presiden Masoud Pezeshkian bahawa Riyadh tidak akan membenarkan ruang udara atau wilayahnya digunakan untuk sebarang tindakan ketenteraan terhadap Iran. – AGENSI 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN