fbpx
Wilson (tengah) menerima cenderamata oleh Altel Communications semasa Majlis Pelancaran Altel Cloud di Astana, Bamboo Hills, Kuala Lumpur.

Altel lancar Altel Cloud, perkukuh ekonomi digital negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Kerajaan menyasarkan sumbangan ekonomi digital mencecah kira-kira 30 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2030, namun usaha itu menuntut Malaysia bangkit bukan sekadar sebagai pengguna teknologi, sebaliknya muncul sebagai pencipta dan peneraju digital.

Timbalan Menteri Digital, Datuk Wilson Ugak Kumbong berkata, bagi mencapai sasaran tersebut, pembangunan infrastruktur digital yang kukuh perlu dijadikan teras utama transformasi negara.

“Tiada kecerdasan buatan tanpa awan. Malaysia memerlukan kuasa pengkomputeran berskala besar, storan yang cekap kos dan selamat untuk melonjakkan inovasi digital,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Altel Cloud di Astana, Bamboo Hills di sini hari ini.

Beliau berkata, kementerian telah menggariskan tujuh teras strategik transformasi digital dengan penekanan khusus kepada infrastruktur digital sebagai tulang belakang masa depan ekonomi negara.

Menurutnya, pendekatan ‘cloud-first’ yang digariskan kerajaan bertujuan meningkatkan kecekapan perkhidmatan awam, mengurangkan kos serta merangsang penerimaan teknologi merentas sektor.

“Kerajaan komited untuk memindahkan lebih banyak perkhidmatan sektor awam ke platform awan dan pada masa sama memastikan data strategik negara kekal disimpan serta dilindungi di dalam negara,” katanya.

Pelancaran Altel Cloud dilihat selari dengan Dasar Pengkomputeran Awan Negara yang memberi keutamaan kepada pemastautinan data, keselamatan serta prestasi tinggi bagi menyokong keperluan sektor awam dan perusahaan.

Altel Communications memaklumkan, Altel Cloud dibangunkan sepenuhnya di dalam negara bagi merapatkan jurang antara penggunaan digital yang pesat dengan keperluan pematuhan data tempatan.

Platform itu disokong Pusat Data Tahap III di Cyberjaya dan Kuala Lumpur serta ketersambungan domestik terus melalui Malaysian Internet Exchange, sekali gus menawarkan prestasi berlatensi rendah untuk analitik masa nyata dan beban kerja AI.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Altel Group, Mohamad Helmi Harith berkata, Altel Cloud dibina berteraskan realiti operasi dan kawal selia landskap Malaysia.

“Fokus kami bukan sekadar skala, tetapi pematuhan, prestasi konsisten dan kawalan penuh pelanggan terhadap masa depan digital mereka,” katanya.

Wilson turut menegaskan keperluan merapatkan jurang digital antara bandar dan luar bandar agar manfaat transformasi digital dapat dirasai seluruh rakyat.

“Kita ada empat tahun untuk menentukan hala tuju sama ada Malaysia benar-benar muncul sebagai negara digital dan AI yang disegani. Ini masanya untuk bertindak dan melabur,” katanya.

Beliau menyeru pemain industri agar bekerjasama rapat dengan kerajaan bagi membangunkan ekosistem digital yang tangkas, selamat dan berdaya saing, demi memastikan Malaysia kekal berdiri teguh sebagai negara inovatif dan berdaya tahan pada era digital. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI