PETALING JAYA – Suasana di sebuah pusat Ar-Rahnu Bank Rakyat di Kota Bharu, Kelantan mencuri perhatian ramai apabila orang ramai dilihat mula beratur seawal 6 pagi bagi mendapatkan nombor giliran untuk urusan gadai emas.
Menerusi perkongsian video di TikTok oleh @ayayusoffleykhach33, kelihatan beberapa orang sedang beratur sehingga ke luar premis berkenaan bagi mendapatkan nombor giliran untuk urusan tebus gadai (OL) susulan harga emas melonjak naik.
Menurut notis makluman yang dikeluarkan pihak Ar-Rahnu, mereka memaklumkan bahawa pihak yang ingin menjalankan urusan di premis berkenaan perlu mengambil nombor giliran bagi urusan tebus gadai, namun jumlah nombor yang dikeluarkan adalah terhad iaitu dari 7021 hingga 7030 sahaja.
“Keadaan di Ar-Rahnu Bank Rakyat. Seawal 6 pagi ada yang sudah beratur untuk ambil duit. Macam ikan sardin sudah orang beratur melimpah hingga ke luar,” tulisnya di ruangan kapsyen.
Perkongsian tersebut mendapat perhatian pengguna media sosial yang rata-rata turut teruja melihat kehadiran ramai dan berkongsi pengalaman masing-masing.
“Saya pergi tengah hari nak tebus, tetapi balik semula sebab nombor sudah habis,” komen Hairossom.
“Jom serbu. Selagi boleh OL kita OL,” seloroh Naim Zain.
“Saya dah pergi tetapi itulah, nak pergi tebus pun susah. Nombor sudah habis,” kata Juwiejuwita. – KOSMO! ONLINE
@ayayusoffleykhach33Seawal 6pagi ada yg dh beratur utk ambik duit














