KUALA LUMPUR – Pemain perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia memulakan kempen Thailand Masters 2026 dengan langkah kanan apabila berjaya mara ke pusingan kedua, hari ini.
Dalam aksi pembukaan di Stadium Nimibutr, Patumwan, Thailand itu, Zii Jia yang sedang dalam misi mencari rentak permainan terbaiknya semula bagi musim ini dipaksa bekerja keras sebelum bangkit menundukkan pemain Belgium, Julien Carraggi menerusi kemenangan straight set 21-19, 21-11.
Zii Jia hampir ditunjukkan jalan keluar lebih awal apabila bermula agak goyah pada set pertama, ketinggalan jauh 4-10 malah terus ditekan lawan sehingga kedudukan 12-17.
Bagaimanapun, pemain kelahiran Kedah itu berjaya bangkit untuk menyamakan kedudukan 19-19 sebelum menutup set pertama dengan kemenangan dramatik.
Momentum kebangkitan itu diteruskan Zii Jia pada set kedua dengan permainan yang lebih kemas dan agresif untuk mengesahkan kemenangan pada aksi pembukaan tersebut.
Hasil kemenangan tersebut, Zii Jia dijadual berdepan pemain India, Mithun Manjunath pada pusingan kedua, esok.
Kecemerlangan skuad badminton lelaki diteruskan oleh seorang lagi pemain perseorangan lelaki negara, Justin Hoh yang turut mempamerkan aksi meyakinkan selepas bangkit mengatasi pemain Taiwan, Su Li Yang 21-17, 21-19 dalam pertarungan selama 51 minit.
Tampil sebagai pilihan keenam kejohanan, Justin akan berdepan wakil China, Zhu Xuan Chen bagi perebutan tempat ke suku akhir.
Sementara itu, kem perseorangan wanita negara melengkapkan hari gemilang Malaysia apabila ketiga-tiga wakil berjaya melepasi pusingan pertama.
K. Letshanaa tidak berdepan masalah besar untuk menyingkirkan wakil India, Ishika Jaiswal 21-10, 21-15 dan Goh Jin Wei pula dipaksa berhempas pulas sehingga ke set penentuan sebelum berjaya menyingkirkan pemain Taiwan, Huang Ching Ping 21-18, 23-21, 21-11 dalam masa 53 minit.
Manakala Wong Ling Ching bangkit mencipta aksi terbaiknya sebelum sebelum berjaya menjinakkan pemain Indonesia, Komang Ayu Cahya Dewi dengan keputusan sengit 21-16, 27-29, 21-18 dalam tempoh 74 minit. -KOSMO! ONLINE














