TANGKAK – Seorang peniaga kedai makan ‘terduduk’ apabila kerugian sebanyak RM364,500 setelah terperdaya dengan scammer yang menghubungi mangsa dengan menyamar sebagai anggota polis.
Menurut Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintendan Roslan Mohd. Talib, pihak polis telah menerima satu laporan polis daripada seorang wanita tempatan yang berusia 58 tahun berkenaan kejadian semalam.
“Mangsa telah mengalami kerugian RM364,500 apabila diperdayakan oleh suspek dengan menyerahkan maklumat perbankan milik syarikatnya dan kata laluan sekali guna (OTP) yang diterima daripada pihak bank kepada pihak scammer.
“Mangsa telah menerima panggilan daripada suspek pada 23 Januari lalu yang mana mangsa dikatakan terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram.
“Mangsa telah menyerahkan maklumat perbankan online miliknya kepada suspek dan akaun bank mangsa telah diambil alih oleh pihak ketiga dan berlaku pemindahan wang tanpa disedari oleh mangsa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. – KOSMO! ONLINE














