KUALA SELANGOR – Langkah drastik menyenarai hitam kenderaan termasuk lori yang terlibat dalam kegiatan pembuangan sampah haram dicadang dilaksanakan bagi mengekang masalah itu daripada terus berleluasa di Selangor.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meru, Mariam Abdul Rashid berkata, beliau menyambut baik kesungguhan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dalam memerangi tapak pelupusan haram termasuk memperuntukkan RM10 juta bagi program pengindahan kampung.
Menurutnya, kawasan Meru antara lokasi terjejas khususnya di Bukit Cerakah Jaya dan Bukit Budiman.
“Saya berharap semua agensi berkaitan termasuk Jabatan Alam Sekitar diperluaskan kuasanya dalam mengambil tindakan penguatkuasaan lebih agresif.
“Tindakan tegas seperti menyenarai hitam pemilik lori dan penyitaan kenderaan yang digunakan untuk membuang sampah secara haram dapat membanteras masalah ini dengan lebih berkesan,” katanya kepada pemberita di sini.
Beliau berkata, kadar denda atau kompaun juga perlu dinaikkan memandangkan jumlah sedia ada terlalu rendah sekali gus menyebabkan pesalah mudah membayarnya sebelum mengulangi perbuatan sama.
Mengulas aduan penduduk di Meru, beliau memberitahu kes pembuangan sampah haram semakin berkurangan hasil pemantauan rapi dan rondaan berterusan selain pemasangan televisyen litar tertutup (CCTV) di lokasi strategik oleh Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK).
“Saya melihat sampah-sampah berlonggok di tepi jalan bukan daripada penduduk, tetapi sama ada penjaja tanpa permit atau orang luar.
“Kebetulan Meru juga ramai warga asing yang kadang-kadang maklumat tidak sampai kepada mereka dari segi kesedaran aspek kebersihan yang menjadi antara penyumbang sampah haram sehingga longkang tersumbat,” katanya.
Kosmo! sebelum ini melaporkan Kerajaan Selangor mengisytiharkan perang habis-habisan terhadap tapak pembuangan sampah haram, termasuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang bersengkokol dalam isu tersebut.
Amirudin menyatakan beliau sendiri akan turun padang bersama agensi terlibat bagi memastikan isu sampah haram ditangani secara total dan berkesan. – KOSMO! ONLINE














