PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman lima individu bagi membantu siasatan berhubung syarikat-syarikat yang dipercayai terlibat dalam perbuatan rasuah berkaitan urusan pelantikan kroni seorang pegawai kanan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
Perintah reman terhadap kesemua individu berkenaan dikeluarkan oleh Majistret Ezrene Zakariah di Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini.
Mahkamah membenarkan seorang individu direman selama tiga hari bermula 28 Januari hingga 30 Januari depan, manakala empat individu lain direman selama tiga hari bermula 27 Januari hingga 29 Januar bagi membantu siasatan lanjut.
Menurut sumber, kesemua individu yang direman terdiri daripada pengarah syarikat, pengurus serta pemilik syarikat dipercayai mempunyai hubungkait dengan syarikat kroni seorang pegawai kanan TLDM.
Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Perisikan SPRM, Datuk Saiful Ezral Arifin ketika dihubungi mengesahkan perkembangan tersebut.
Katanya, siasatan dijalankan secara profesional dan mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
Terdahulu, SPRM telah membekukan sebanyak 21 akaun bank dengan anggaran nilai RM700,000 selain menyita aset bernilai RM2 juta susulan siasatan rasuah berkenaan.
Pembekuan bank itu melibatkan tujuh akaun syarikat dan 14 akaun perbankan milik beberapa individu.
Sebelum ini, Kosmo! melaporkan SPRM menahan reman seorang pegawai kanan TLDM kerana disyaki terlibat rasuah bagi mengesyor dan melantik syarikat kroni mendapatkan kerja-kerja di tempat pegawai kanan tersebut bekerja.
Siasatan awal mendapati suspek yang merupakan pegawai kanan TLDM disyaki memiliki harta melebihi jumlah emolumen yang diterima.
Ia seperti pemilikan kira-kira lapan aset tidak alih terdiri daripada tiga buah rumah, tiga buah rumah kedai dan dua buah hotel yang didaftarkan atas nama beliau. – KOSMO! ONLINE














