KLANG – Dua kontena misteri yang dipercayai telah terbiar sejak dua tahun lalu antara lima kontena cuba diseludup dengan 125 tan sisa elektronik atau e-waste berjaya disita pihak berkuasa di Pelabuhan Barat di sini, semalam.
Perkara itu dikesan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) menerusi pemeriksaan di tapak Gudang CFS 4 pelabuhan itu, kira-kira pukul 10.30 pagi.
Komander AKPS Pelabuhan Klang, Datuk Nik Ezanee Mohd. Faisal berkata, hasil pemeriksaan mendapati kesemua kontena itu membawa pelbagai jenis e-waste yang dilarang dibawa masuk ke negara ini.
“Dua kontena mengandungi buangan terjadual melibatkan barangan elektronik terpakai seperti pencetak, unit pemprosesan pusat (CPU) dan peralatan komputer yang telah dihancurkan.
“Selain itu, tiga lagi kontena lain masing-masing didapati berisi kabel wayar hancur dan sampah industri atau komersial,” katanya pada sidang akhbar di pelabuhan itu, hari ini.
Menurutnya, siasatan lanjut mendapati dagangan itu dibawa masuk dalam tempoh berbeza menerusi kaedah pemalsuan pengikraran dagangan.
“Negara pengeksport bagi semua kontena itu dikenal pasti melibatkan Amerika Syarikat, Sepanyol, Korea dan Taiwan. Dua daripada lima kontena yang ditahan dipercayai berada di kawasan pelabuhan ini sejak dua tahun iaitu sekitar 2024,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














