fbpx
Gambar hiasan

Persatuan desak segerakan harga lantai upah ‘rider’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Persatuan penghantar terus mendesak kerajaan supaya segera menetapkan kadar harga lantai bagi perkhidmatan penghantaran p-hailing susulan isu kadar upah yang rendah masih menjadi beban utama penunggang di lapangan.

Menurut Persatuan Perpaduan Rakan Penghantar Malaysia (PPRPM), penetapan harga lantai adalah satu keperluan asas bagi melindungi kebajikan penunggang p-hailing yang berdepan kadar upah semakin menurun, tidak seimbang dengan kos sara hidup, penyelenggaraan kenderaan serta risiko kerja harian.

“Tanpa harga lantai, Akta Pekerja Gig berisiko menjadi akta separuh masak kerana gagal menangani isu paling asas yang membelenggu penunggang. Selagi kadar lantai tidak ditetapkan, kuasa mutlak kekal di tangan syarikat platform dan penunggang terus terdedah kepada eksploitasi,” katanya dalam kenyataan.
PPRPM turut menyuarakan kebimbangan terhadap pembentukan Majlis Perundingan Gig (MPG) yang diperuntukkan di bawah Akta Pekerja Gig, khususnya mengenai keanggotaan majlis berkenaan.

Menurut persatuan itu, keanggotaan MPG perlu mengutamakan suara akar umbi termasuk wakil penunggang dan pengiat industri p-hailing kerana mereka benar-benar memahami realiti serta cabaran sebenar di lapangan, bukannya didominasi pihak berkepentingan.

Dalam kenyataan berasingan, Jawatankuasa Gerakan Badan Bertindak Sahabat E-hailing Malaysia (JK GBBSEM) pula menyifatkan kenyataan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan pada 26 Januari lalu sebagai mengelirukan dan tidak selari dengan kerangka perundangan sedia ada.

Jelas JK GBBSEM, rujukan kepada gaji minimum nasional RM1,700 tidak wajar disandarkan kepada pekerja gig kerana perintah gaji minimum itu hanya terpakai kepada pekerja di bawah Akta Kerja 1955, sedangkan pekerja gig tertakluk kepada Akta Pekerja Gig 2025.

“Akta Pekerja Gig memperuntukkan hak kepada pekerja gig untuk bersuara melalui Majlis Perundingan Gig dalam penentuan kadar pendapatan minimum.

“Jika dari awal menteri sudah menolak cadangan harga lantai, usaha menggubal undang-undang dan dasar melindungi pekerja gig seolah-olah tidak bermakna,” kata kenyataan itu.

JK GBBSEM turut menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya tidak lagi berlengah mengambil tindakan tegas bagi menjaga kebajikan pekerja gig yang sekian lama terkesan akibat kelewatan keputusan dan sikap berdolak-dalih pihak berwajib.

Terdahulu, Ramanan dilaporkan berkata, kerajaan belum bercadang menetapkan satu kadar harga lantai tetap bagi setiap perjalanan perhantar namun perniagaan platform e-hailing dan p-hailing boleh mengambil langkah menyelaras bersama pekerjanya.

Katanya, pihak penyediaan platform perlu menyelaraskan harga lantai upah yang tetap dan berpatutan dengan pekerja.

“Pendapatan minimum telah diselaraskan pada RM1,700. Itu dasar kerajaan. Tetapi pengendalian kadar bayaran rider (penghantar) berada di bawah platform masing-masing selagi mematuhi akta dan undang-undang sedia ada,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN