fbpx
Gambar hiasan.

Pendaftaran kad SIM prabayar diperketat guna MyDigital ID

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berhasrat memperketatkan proses pendaftaran kad SIM prabayar dengan langkah lebih selamat dan boleh dipercayai, termasuk penggunaan MyDigital ID.

Ia bagi mengelak penyalahgunaan dan memastikan syarikat telekomunikasi menggalas tanggungjawab dengan lebih jelas.

Langkah ini diumumkan susulan penerbitan Laporan Siasatan Awam yang meneliti cadangan Standard Mandatori untuk pendaftaran pengguna prabayar.

MCMC berkata siasatan awam itu dijalankan sepanjang 45 hari, bermula 14 Oktober hingga 28 November 2025, dengan 15 maklum balas diterima, termasuk 10 daripada penyedia perkhidmatan dan lima daripada orang awam.

“Mekanisme pendaftaran kendiri sedia ada bergantung kepada muat naik dokumen dan kaedah ini terdedah kepada pemalsuan dan kecurian identiti.

“Ketiadaan identiti digital yang selamat juga mengehadkan kebolehkesanan dan kebertanggungjawaban pengguna,” katanya dalam kenyataan hari ini.

MCMC berkata, secara keseluruhannya, kelemahan ini menimbulkan risiko yang ketara terhadap keselamatan pengguna, keselamatan negara dan integriti perkhidmatan digital, sekali gus memerlukan rangka kerja kawal selia yang lebih selamat, seragam dan boleh dikuatkuasakan.

“Maklum balas yang diterima menunjukkan sokongan meluas dan konsisten daripada pihak industri dan orang awam terhadap keperluan memperketat proses pendaftaran prabayar untuk melindungi pengguna dan mengukuhkan keyakinan terhadap perkhidmatan digital,” katanya.

Standard Mandatori yang dicadangkan bakal memperkenalkan platform pendaftaran automatik yang selamat, pengesahan biometrik, serta tanggungjawab yang lebih jelas bagi penyedia perkhidmatan dan pengedar.

Salah satu penambahbaikan utama ialah pengintegrasian MyDigital ID bagi pendaftaran kendiri, terutamanya bagi individu yang telah memiliki identiti digital ini.

MCMC berkata penggunaan MyDigital ID dijangka meningkatkan tahap jaminan dan mengukuhkan integriti serta kebolehpercayaan proses pendaftaran prabayar.

“Langkah ini juga selaras dengan inisiatif identiti digital nasional kerajaan, yang bertujuan memodenkan sistem pengenalan dan transaksi digital di Malaysia.

“Selain itu, Standard Mandatori akan membantu mengurangkan risiko kad SIM disalahgunakan untuk penipuan dalam talian dan kegiatan jenayah lain,” katanya.

MCMC menegaskan bahawa langkah ini bukan sahaja melindungi pengguna, tetapi juga memberi kepastian dan akauntabiliti kepada penyedia perkhidmatan telekomunikasi.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN