GEORGE TOWN – Kejadian hakisan pantai di Batu Ferringhi dan Tanjong Bungah di sini, dipercayai berpunca daripada pembangunan berlebihan yang terlalu hampir dengan garis pantai, penambakan laut, pembinaan struktur keras seperti tembok dan benteng tanpa kajian menyeluruh.
Menurut Pengerusi Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Pulau Pinang, Andika Putera,
pengabaian ekosistem semula jadi seperti bakau dan zon penampan pantai telah mengganggu keseimbangan dinamik pantai sehingga mengakibatkan kawasan pesisir menjadi semakin terdedah kepada hakisan yang lebih teruk.
“MUDA Pulau Pinang berpandangan bahawa langkah mitigasi jangka panjang tidak seharusnya terhad kepada projek kejuruteraan semata-mata.
“Tetapi, ia mesti disertai dengan penilaian semula dasar pembangunan pantai, penguatkuasaan kawalan pembangunan yang lebih tegas, serta komitmen untuk memelihara ekosistem semula jadi sebagai benteng pertahanan pertama terhadap hakisan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital Pulau Pinang, Zairil Khir Johari, semalam, yang menyifatkan hakisan pantai di sepanjang pesisir Tanjong Bungah dan Batu Ferringhi sebagai fenomena bermusim.
“Walaupun faktor semula jadi sememangnya memainkan peranan, MUDA Pulau Pinang menegaskan bahawa adalah tidak wajar untuk terus menyalahkan fenomena alam semata-mata tanpa mengakui sumbangan besar adalah dari aktiviti manusia.
“Khususnya pembangunan pantai yang tidak terkawal menyebabkan kemerosotan kestabilan semula jadi kawasan pesisir,” ujarnya.
Justeru, tegasnya, Kerajaan Negeri perlu lebih telus dan berani mengakui kelemahan perancangan lalu agar penyelesaian yang dilaksanakan benar-benar mampan, demi keselamatan orang awam, kelestarian alam sekitar dan masa depan sektor pelancongan Pulau Pinang. – KOSMO! ONLINE














