fbpx
Sultan Sharafuddin berkenan menyampaikan watikah pelantikan kepada imam-imam masjid di Balairung Seri Istana Alam Shah, Klang. Foto oleh AFIQ RAZALI / KOSMO!

Masjid bukan gelanggang politik – Sultan Selangor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KLANG – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah agar supaya masjid dan surau tidak dijadikan sebagai gelanggang politik dan perlu bebas daripada sebarang pengaruh cengkaman politik kepartian.

Sultan Sharafuddin bertitah, masjid bukan medan bagi meraih sokongan serta kepentingan peribadi, jauh sekali tempat untuk menyemai kebencian dan perpecahan.

“Beta sama sekali tidak membenarkan ahli-ahli politik yang cuba berselindung di sebalik ceramah agama dan menggunakan surau serta masjid untuk kepentingan agenda politik masing-masing.
“Beta juga tidak mahu dengar ada dalam kalangan nazir dan ahli jawatankuasa masjid dan surau yang terlibat secara langsung dalam politik kepartian, termasuk memegang jawatan politik dan pada masa sama dilantik sebagai nazir atau imam kerana perkara ini boleh menjejaskan keharmonian ahli kariah setempat,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian pada Majlis Pengurniaan Watikah Pelantikan kepada 850 orang nazir-nazir masjid dan imam-imam masjid seluruh negeri Selangor di Balairung Seri Istana Alam Shah, di sini hari ini.

Sultan Sharafuddin mengingatkan jawatan berkenaan bukan untuk direbut bagi kepentingan peribadi, sebaliknya satu amanah besar yang akan dipersoalkan di hadapan Allah SWT kelak.

Justeru, baginda tidak mahu menerima sebarang aduan berkaitan perebutan jawatan berkenaan.

“Perebutan jawatan hanya akan menimbulkan perasaan tidak puas hati, permusuhan dan perpecahan dalam kalangan ahli kariah sendiri khususnya, dan umat Islam amnya.

“Beta tidak mahu orang-orang Melayu berpecah-belah hanya kerana gilakan jawatan dan tamakkan kuasa yang akhirnya nanti, akan merugikan bangsa Melayu itu sendiri,” titah baginda.

Dalam pada itu, Sultan Sharafuddin turut memandang serius budaya fitnah serta penyebaran tohmahan, khususnya melalui media sosial, yang disifatkan bertentangan dengan ajaran Islam serta mampu merosakkan ukhuwah dan perpaduan.

Ini termasuk tiada mana-mana pihak menyebarkan berita tidak benar, memutarbelitkan fakta atau membesar-besarkan perkara kecil sehingga menimbulkan rasa tidak senang hati dalam kalangan ahli kariah dan masyarakat.

“Perkara ini tidak boleh dipandang ringan kerana jika tersilap langkah boleh menimbulkan perbalahan dalam kalangan masyarakat.

“Setiap maklumat hendaklah disemak dengan mendalam dan diteliti kesahihannya kerana fitnah itu dosanya lebih besar daripada membunuh. Beta sentiasa mengikuti perkembangan di masjid dan surau di negeri ini dan tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas sekiranya perlu,” titah baginda. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI