PETALING JAYA – Malaysia mengintai peluang membuka laluan penerbangan terus dari Riyadh, Arab Saudi sebagai langkah strategik untuk memperluas pasaran pelancongan khususnya dari Timur Tengah.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, rantau tersebut dikenal pasti berpotensi tinggi dan langkah itu selaras dengan agenda Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026).
Beliau berkata, cadangan itu sedang dibincangkan bersama Batik Air susulan kejayaan syarikat penerbangan tersebut membuka laluan ke bandar yang sebelum ini kurang mendapat perhatian kerana risiko operasi.
Menurutnya, pendekatan berani itu selari dengan keperluan Malaysia untuk meneroka pasaran baharu serta memperkukuh daya saing industri pelancongan negara di peringkat antarabangsa.
“Kenapa tidak kita lihat Riyadh sebagai peluang baharu? Jeddah mempunyai kekangan tertentu dari segi ketersediaan penerbangan sedangkan minat rakyat Arab Saudi untuk melancong ke Asia Tenggara, khususnya ke Malaysia sangat besar.
“Ketika ini sebahagian besar penerbangan keluar dari Jeddah ke rantau Asia Tenggara tertumpu ke negara lain seperti Indonesia. Sekali gus mengehadkan peluang Malaysia untuk menarik lebih ramai pelancong dari Arab Saudi termasuk segmen pelancongan keluarga dan premium,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, Malaysia tidak boleh terus berada di belakang dalam persaingan serantau bagi menarik pelancong dari Timur Tengah.
Sebaliknya kata beliau, negara perlu berani mengambil cabaran dan bertindak lebih agresif dalam memperluas rangkaian penerbangan antarabangsa.
“Dengan formula yang sama, kami akan bekerjasama rapat dengan Batik Air serta Tourism Malaysia untuk memperkukuh promosi di Riyadh dan Jeddah.
“Kita mahu pastikan inisiatif penerbangan dari Riyadh ke Malaysia ini berjaya, malah kita berhasrat untuk memulakannya lebih awal,”ujarnya.
Dalam pada itu, King Sing menegaskan bahawa persaingan dalam industri penerbangan masa kini tidak lagi bergantung kepada harga semata-mata, sebaliknya menuntut standard perkhidmatan yang lebih tinggi, termasuk ketepatan masa, profesionalisme kru serta penjagaan penumpang yang serius.
“Begitu juga peranan ejen pelancongan dan rakan industri yang merupakan penghubung antara destinasi dan pelancong. Anda mempengaruhi pilihan, membentuk pengalaman, dan membawa cerita Malaysia ke seluruh dunia.
“Kerjasama kukuh antara syarikat penerbangan, Tourism Malaysia dan industri pelancongan adalah kunci kepada ekosistem yang seimbang, berdaya tahan dan terus berkembang,” katanya.-KOSMO! ONLINE














