MASA depan tujuh pemain warisan Harimau Malaya yang terpalit dengan isu pemalsuan dokumen bakal diketahui pada persidangan rayuan Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) dijadualkan bersidang hujung bulan depan.
Perkara itu disahkan oleh Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Noor Azman Rahman selepas pihaknya menerima surat daripada badan timbang tara antarabangsa itu, Isnin lepas.
“(Persidangan CAS melibatkan kes FAM dan pemain warisan Harimau Malaya) akan berlangsung pada 25 atau 26 Februari depan,” kata Noor Azman secara ringkas.
Sebagai rekod, CAS telah mengarahkan Penangguhan Pelaksanaan (Stay of Execution) terhadap tujuh pemain skuad Harimau Malaya sekali gus memberi kegembiraan buat peminat bola sepak negara.
Semua pemain terdiri daripada Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Gabriel Palmero, Jon Irazabal dan Hector Hevel telah diberi lampu hijau untuk terus menjalani latihan bersama kelab masing-masing.
Keputusan itu sekali gus memberi keceriaan buat semua pemain selepas ‘diharamkan’ beraksi lebih empat bulan sejak keputusan rasmi FIFA dikeluarkan pada penghujung September lepas.
Semua pemain terbabit bebas untuk melakukan aktiviti berkaitan bola sepak sehingga keputusan muktamad rayuan di CAS dibuat pada penghujung bulan nanti. – KOSMO! ONLINE














