fbpx
Badlishah Sham (dua kiri) melancarkan Laporan Kajian Indeks Malaysia Negara Rahmah di Petaling Jaya, hari ini - Foto AMIR KHALID / KOSMO!

Kedudukan Indeks Malaysia Negara Rahmah diperkukuh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Malaysia terus mengukuhkan kedudukannya dalam mencapai status negara harmoni apabila merekodkan skor keseluruhan 7.42 dalam Indeks Malaysia Negara Rahmah (IMNR) 2025.

Presiden Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram), Badlishah Sham Baharin berkata, skor tersebut merupakan peningkatan pencapaian apabila dibandingkan dengan skor IMNR 2023 (7.24), IMNR 2022 (6.47) dan IMNR 2021 (6.09).

“Sejak pelaksanaannya pada tahun 2021, IMNR telah melalui beberapa proses penambahbaikan dari tiga dimensi utama, iaitu Politik, Ekonomi dan Sosial, yang merangkumi 15 ciri, 40 indikator dan 120 item penilaian.

“Penambahbaikan ini menjadikan IMNR lebih komprehensif dan holistik, selari dengan perkembangan semasa serta berpandukan kerangka Madani, Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) dan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG),” katanya ketika berucap sesi pembentangan dan sidang media Laporan Kajian Indeks Malaysia Negara Rahmah 2025 di sini hari ini.

Badlishah Sham berkata, indeks itu telah dibangunkan dengan penglibatan beberapa agensi kerajaan, pertubuhan sivil, masyarakat madani daripada pelbagai agama dan etnik, serta ahli akademik pelbagai bidang.

“Kajian ini menggunakan kaedah persampelan kluster dua peringkat. Kaji selidik telah dilaksanakan pada 26 September sehingga 15 November 2025.

“Kajian ini melibatkan 3,030 responden yang berusia 18 tahun ke atas dan berpendidikan pasca-SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) daripada masyarakat berbilang kaum dan latar belakang,” katanya.

Beliau berkata, kajian itu mendapati tiga ciri yang mempunyai skor tertinggi direkodkan oleh Ciri 6: Institusi Keluarga yang Utuh (8.51), diikuti Ciri 5: Masyarakat yang Bahagia, Berakhlak dan Penyayang (8.22) serta Ciri 7: Hubungan Harmoni antara Pelbagai Etnik dan Penganut Agama (8.04).

“Manakala, tiga ciri dengan skor terendah dicatatkan bagi Ciri 9: Agihan Kekayaan yang Saksama (6.78), Ciri 8: Ekonomi yang Mampan (6.94) dan Ciri 2: Sistem Pemerintahan yang Berasaskan Semak dan Imbang yang Berkesan (6.95),” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN