fbpx
Seorang lelaki yang merupakan pemegang lesen mendulang emas mengenal pasti lokasi mendulang emas di Sungai Bertam, Tanah Merah semalam.

Jangan sekat laluan pendulang emas berlesen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KOTA BHARU – Kerajaan negeri Kelantan tidak mahu berlaku sebarang insiden penduduk kampung menghalang laluan pendulang emas berlesen ke kawasan mendulang emas yang telah diwartakan di tanah rizab kerajaan.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr. Mohamed Fadzli Hassan menegaskan, tindakan itu tidak adil kepada pemegang lesen mendulang emas yang telah diberikan kebenaran untuk menjalankan aktiviti berkenaan.

Menurutnya, pemegang lesen juga telah dimaklumkan bahawa mereka hanya berhak menjalankan aktiviti mendulang emas di kawasan diwartakan selain melalui jalan awam untuk ke lokasi mendulang.

“Apabila berada di tanah kerajaan negeri, mereka yang sudah mendapat lesen mendulang emas berhak melalui kawasan yang digazetkan.

“Jika tanah persendirian, itu menceroboh, tetapi kalau dalam tanah kerajaan, semua boleh lalu. Jadi, jangan sekat kerana ia tidak adil kepada mereka (pemegang lesen mendulang emas),” katanya ketika ditemui pemberita selepas Mesyuarat Mingguan Exco Kerajaan Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim di sini hari ini.

Media sebelum ini melaporkan penduduk di Kampung Kalai dekat Jeli resah apabila laluan ke Sungai Tadoh yang diwartakan sebagai kawasan mendulang emas didakwa turut melibatkan kawasan rumah dan kebun milik mereka.

Dalam perkembangan sama, Mohamed Fadzli memberitahu, pihak tertentu tidak perlu menaikkan isu mengenai pengeluaran lesen mendulang emas bersaiz A4 yang berbentuk seperti geran.

Menurutnya, dokumen itu dibuat atas keperluan dan boleh ditambah baik dari semasa ke semasa.

“Pengeluaran lesen itu masih berada di peringkat permulaan dan dokumen tersebut dikeluarkan dalam bentuk geran supaya kita boleh memetakan radius pewartaan kawasan mendulang emas.

“Banyak perkara yang perlu dimasukkan ke dalam lesen itu. Selain itu, lesen mendulang emas bukan tiket bagi pendulang untuk sesuka hati melakukan aktiviti itu.

“Kebenaran itu diberikan atas komitmen agar rakyat mematuhi peraturan dan arahan termasuk hanya dibenarkan menggali tanah dengan kedalaman semeter sahaja selain mengekalkan zon penampan kiri dan kanan sungai,” ujarnya.

Mohamed Fadzli berkata, kerajaan negeri tetap perlu merujuk kepada Jabatan Mineral dan Geosains, Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Pengairan dan Saliran, Jabatan Perhutanan dan pejabat tanah mengenai kemas kini aspek mendulang emas. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI