fbpx
Masoud Pezeshkian - AFP

Iran keluar amaran kepada negara jiran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TEHRAN – Presiden Iran, Masoud Pezeshkian memberi amaran bahawa ancaman Amerika Syarikat (AS) terhadap Republik Islam itu hanya akan mencetuskan ketidakstabilan, ketika kumpulan penyerang tentera laut AS yang diketuai sebuah kapal pengangkut pesawat mengambil kedudukan di perairan Asia Barat.

Washington tidak menolak campur tangan ketenteraan terhadap Tehran atas tindakan kerasnya terhadap protes yang menurut kumpulan hak asasi, telah menyebabkan ribuan orang terkorban.

Justeru, Presiden Donald Trump menghantar kapal USS Abraham Lincoln ke rantau itu sebagai ‘langkah berjaga-jaga’.

Pezeshkian mengecam ancaman AS dalam satu panggilan telefon dengan Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Mohammed bin Salman, dengan mengatakan bahawa ia bertujuan untuk mengganggu keselamatan rantau itu dan tidak akan mencapai apa-apa selain ketidakstabilan.

Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) Iran turut mengeluarkan amaran kepada negara-negara jirannya semalam.

“Negara-negara jiran adalah rakan kami, tetapi jika tanah, langit atau perairan mereka digunakan untuk menentang Iran, mereka akan dianggap bermusuhan,” kata Timbalan Politik Tentera Laut IRGC, Mohammad Akbarzadeh.

Kementerian Luar Arab Saudi berkata, Putera Mohammed telah berjanji kepada Pezeshkian bahawa Riyadh tidak akan membenarkan ruang udara atau wilayahnya digunakan untuk sebarang tindakan ketenteraan terhadap Iran.

Sementara itu, Menteri Luar Iran,Abbas Araghchi berkata, tiada rundingan antara Washington dengan Tehran jika AS membuat ancaman berterusan terhadap negara itu.

“Melakukan diplomasi melalui ancaman ketenteraan tidak akan berkesan atau berguna. Jika mereka mahu rundingan terbentuk, mereka pastinya mesti mengetepikan ancaman, tuntutan berlebihan dan menimbulkan isu-isu yang tidak logik,” kata Araghchi. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN