KANGAR – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Perlis bertindak menyita tiga kenderaan Thailand selepas mendapati Permit Pengedaran Antarabangsa (ICP) semua kenderaan tersebut telah tamat tempoh, baru-baru ini.
Pengarah Kastam negeri, Ismail Hashim berkata, tiga kenderaan tersebut terdiri daripada dua pikap jenis Mitsubishi Triton dan Toyota Hilux serta sebuah kereta Toyota Vios.
Katanya, kes pertama melibatkan Mitsubishi Triton yang diletakkan di sebuah premis di Jalan Sungai Padang Bunga Mas, Sanglang, Simpang Ampat pada 6 Januari lalu.
“Hasil pemeriksaan mendapati ICP kenderaan itu telah tamat selama 35 hari. Kenderaan dianggarkan bernilai RM33,000 dengan cukai RM51,810 dan disita untuk siasatan lanjut,” katanya pada sidang akhbar di Kompleks Kastam Perlis, di sini hari ini.
Menurutnya, kes kedua melibatkan Toyota Vios di hadapan sebuah restoran di Kampung Batu Hampar, di sini pada 7 Januari lepas.
“ICP kereta tersebut didapati tamat hampir dua bulan. Seorang wanita Thailand berusia 39 tahun ditahan untuk membantu siasatan. Kereta itu dianggarkan bernilai RM25,000 dengan cukai RM19,750,” ujarnya.
Katanya, kes ketiga melibatkan Toyota Hilux yang ICP tamat 113 hari di kawasan letak kereta sebuah rumah di Kampung Kok Klang, Mata Ayer, dekat sini pada 9 Januari lepas.
“Seorang lelaki warga tempatan berusia 54 tahun ditahan untuk membantu siasatan. Kenderaan itu dianggarkan bernilai RM23,000 dengan cukai RM36,202,” jelasnya.
Tambah beliau, alasan yang diberikan termasuk terlupa memperbaharui ICP di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
“Penguatkuasaan berkaitan kesalahan ini akan diteruskan. Kita percaya masih ramai menggunakan kenderaan bernombor pendaftaran Thailand dengan ICP tamat tempoh,” katanya.
Dalam kes berasingan, kastam Perlis turut berjaya membongkar cubaan membawa masuk 3,744 unit dapur gas secara pengikraran tidak benar pada Borang K1, hasil pemeriksaan ke atas sebuah kontena di Bay Pemeriksaan Kastam, Pengkalan Kontena Butterworth Utara (PKBU), Pulau Pinang pada 14 Januari lalu.
“Hasil pemeriksaan mendapati kontena itu dimuatkan dengan dagangan dapur gas yang melebihi kuantiti diikrar. Kesemua dagangan yang disita berjumlah 3,744 unit, dianggarkan bernilai RM239,700 dengan cukai RM63,520.50. Kontena itu turut disita, dianggarkan bernilai RM5,000,” katanya.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 133(1)(a) Akta Kastam 1967,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














