PUTRAJAYA – Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) dijangka beroperasi 24 jam bermula Tahun Baharu Cina sebagai langkah menampung lonjakan permintaan penumpang serta mengurangkan kesesakan jalan raya.
Bagaimanapun, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, pelaksanaan operasi 24 jam itu hanya akan dilaksanakan ketika musim perayaan dan bukan sepanjang tahun.
“ETS 24 jam ini hanya untuk musim perayaan, bermula Tahun Baharu Cina.
“Kita mahu mengoptimumkan aset sedia ada dan menambah kapasiti ketika permintaan tinggi,” katanya menerusi sidang akhbar selepas Perhimpunan Bulanan Kementerian Pengangkutan di sini hari ini.
Menurutnya, beliau telah mengarahkan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) supaya mengoptimumkan penggunaan semua set tren termasuk memperkenalkan perjalanan tambahan di luar jadual biasa.
Jelasnya, langkah itu akan diteruskan pada musim perayaan lain termasuk Hari Raya Aidilfitri dan cuti panjang sekiranya terdapat permintaan tinggi daripada pengguna.
“Kita mahu pendekatan seperti syarikat penerbangan yang menambah penerbangan tambahan ketika musim puncak.
“Sebab itu KTMB kini memperkenalkan konsep ‘Midnight Trains’. Apabila tiba musim permintaan tinggi, kita akan tambah kekerapan dan kapasiti. Ini penting supaya lebih ramai rakyat boleh mendapatkan tiket ETS,” katanya.
Beliau berkata, penggunaan ETS memberi alternatif perjalanan yang lebih selesa dan selamat berbanding pemanduan jarak jauh, khususnya ke destinasi utama seperti Johor Bahru, Pulau Pinang dan Alor Setar. – KOSMO! ONLINE














