LONDON – Bekas bos Arsenal, Arsene Wenger mengakui kekalahan 2-3 pasukan itu kepada Manchester United pada aksi Liga Perdana Inggeris di Emirates kelmarin mendedahkan beberapa kelemahan yang dihadapi The Gunners.
Menurutnya, skuad kendalian Mikel Arteta itu perlu segera mengenalpasti kelemahan dan mengatasinya biarpun mereka masih memiliki kelebihan empat mata sebagai pendahulu saingan ketika ini.
“Apabila anda bolos tiga gol di tempat sendiri, ia sukar untuk memenangi perlawanan. Jumlah jaringan pada perlawanan itu menggambarkan corak permainan kedua-dua pasukan.
“United berjaya membina corak permainan dari bawah, kesepaduan yang ditunjukkan juga begitu baik antara pemain. Arsenal pula menggunakan kekuatan menyerang, menggerakkan serangan menerusi kiri dan kanan serta sepakan penjuru sehingga tercetus gol kedua mereka.
“Jaringan pertama Arsenal tidak terhasil menerusi gerakan yang benar-benar sempurna. Mereka memberikan segala-galanya, tetapi saya melihat mereka kurang sabar dan kurang bermain secara berpasukan,” katanya.
Pendapat tersebut turut dipersetujui oleh bekas kapten The Gunners, Patrick Vieira yang mahukan semua pemain pasukan itu memberikan apa yang mereka miliki setiap kali beraksi untuk memastikan impian menjulang kejuaraan menjadi kenyataan.
“Mereka perlu kembali kepada asas. Pasukan perlu bermain dengan lebih bebas dan tidak terikat. Saya fikir ramai pemain yang gagal beraksi baik dalam perlawanan itu.
“Ia adalah perlawanan yang ‘wajib’ menang untuk Arsenal. Kemenangan mampu memberi mesej jelas kepada para pesaing lain bahawa mereka bersedia untuk bergelar juara, namun malangnya itu tidak berlaku,” jelasnya. – AGENSI














