KLANG – Ketidakpatuhan syarat kelulusan pihak berkuasa membawa kepada sitaan daging babi dari Belgium dalam dua buah kontena bernilai RM873,000 di Pelabuhan Barat di sini, semalam.
Komander Kawalan Pintu Masuk Pelabuhan Klang Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Datuk Nik Ezanee Mohd. Faisal berkata, rampasan itu dibuat susulan wujud ketidakpatuhan terhadap syarat ditetapkan antaranya fasiliti yang tidak diluluskan.
“Sepanjang bulan ini, jumlah rampasan daging itu di Pelabuhan Klang mencecah RM2 juta,” katanya pada sidang akhbar hari ini.
Menurut beliau, AKPS bekerjasama rapat dengan pihak kesihatan dan agensi berkaitan bagi memastikan semua produk makanan yang dibawa masuk ke negara ini mematuhi piawaian keselamatan yang ditetapkan.
“Pemantauan rapi dijalankan ke atas produk berisiko tinggi dari negara tertentu bagi mengelak ancaman kesihatan awam termasuk virus Nipah.
“Setakat ini, tiada ancaman lain dikesan dan pemantauan akan diteruskan sehingga arahan lanjut dikeluarkan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














