KOTA TINGGI – Asap kebakaran yang melibatkan tiga kawasan di Pengerang di sini sejak Jumaat lalu tidak memasuki ruang udara negara Singapura.
Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Johor, Muhammad Al Mustakim Abdul Hady berkata, hasil mesyuarat jawatankuasa pengurusan bencana negeri semalam memaklumkan setakat ini asap berkenaan tidak terkesan sehingga ke negara jiran itu.
Katanya, terdapat tiga kawasan kebakaran melibatkan kira-kira 391 ekar tanah berlaku di kawasan Pengerang termasuklah yang paling kritikal di Jalan Sungai Kapal, Taman Bayu Damai.
Menurutnya, sementara dua lagi kawasan melibatkan Kampung Lepau yang masih proses pemadaman dan juga tapak pengumpulan sampah Jalan Tuatau, Bandar Penawar telah berjaya dipadamkan sepenuhnya semalam.
“Saya difahamkan asap itu tidak masuk lagi (ke Singapura) tapi kita khawatir juga bila asap itu sampai sana kerana itu sudah melibatkan hubungan diplomatik kita boleh terganggu.
“Jadi kita cuba untuk mengelakkan perkara itu. Setakat ini asap tersebut tidak sampai lagi (ke Singapura) kita difahamkan macam itu,” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di Pusat Kawalan Bomba di Taman Bayu Damai di sini hari ini.
Terdahulu, media Singapura semalam melaporkan, Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) sedang memantau keadaan jerebu secara rapi selepas bau pembakaran dikesan di beberapa kawasan di Singapura pada malam kelmarin. – KOSMO! ONLINE














