fbpx
Tangkap layar video memaparkan seorang pekerja pusat membeli-belah di Jepun menegur seorang lelaki yang membasuh kakinya di singki ketika mengambil wuduk.

Ambil wuduk angkat kaki dalam singki ‘big no’ di Jepun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Tindakan seorang pelancong dari Indonesia yang mengambil wuduk dengan mengangkat kaki di dalam singki sebuah tandas awam di sebuah pusat membeli-belah di Jepun menimbulkan kontroversi dalam kalangan netizen.

Insiden itu menjadi tular selepas video berkenaan dikongsi oleh seorang penduduk Jepun, Haruka di platform Threads.

Semakan Kosmo! pada video tersebut, lelaki Muslim itu dilihat membasuh kaki menggunakan singki yang biasanya digunakan oleh orang ramai untuk mencuci tangan.
“Ini sangat tidak bersih dan bertentangan dengan budaya kebersihan Jepun. Kebanyakan orang di sini tidak akan mahu menggunakan singki itu selepas kejadian ini,” kata Haruka.

Dalam budaya Jepun, kebersihan persekitaran awam diambil berat, dan menggunakan singki untuk mencuci kaki dianggap sesuatu yang tidak wajar.

Video tular itu menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan netizen dan sesetengahnya menegaskan kepentingan memahami budaya tempatan.

“Pergi negara orang, ikut adat dan budaya mereka. Jangan buat sesuatu yang dilarang di negara orang. Kita melancong, pada masa sama bawa imej negara kita, jadi follow the rules (ikut peraturan),” pesan Syahmi.

Sementara itu, ada juga yang berpendapat pihak pengurusan pusat membeli-belah di Jepun khususnya boleh menyediakan kemudahan khas bagi pelancong Muslim untuk mengambil wuduk.

“Kalau ada tempat wuduk khas, mungkin boleh dipertimbangkan oleh pihak mall (pusat membeli-belah). Senang untuk pelancong beragama Islam nak ambil wuduk. Kasihan kadang terpaksa guna botol air bila ke negara orang. Dalam tandas dah tak ada paip, memang agak susah,” kata Helmi. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN