PETALING JAYA – Lama menanti peluang, penyanyi Ismail Izzani akhirnya berjaya memujuk ibunya yang juga penyanyi era 80-an, Suliza Salam untuk berduet bersamanya.
Menurut Ismail atau nama lengkapnya Ismail Izzani Zainal Nazeri, 26, lagu ciptaannya sendiri yang berjudul Janji Mama itu akan dirakamkan dalam tempoh terdekat.
“Sebenarnya berbulan-bulan juga saya ambil masa untuk pujuk mama (panggilan ibu). Saya ambil hati dia dulu, bawa dia main pickleball. Lepas tu barulah dia setuju.
“Mama dah bertahun tak menyanyi. Selepas berkahwin, terus dia tinggalkan dunia nyanyian.
“Jadi apabila dia setuju untuk berduet, saya sangat terharu kerana dia sanggup lakukannya demi,” katanya ketika ditemui di sidang media Bintang Uni-Verse di sini, hari ini.
Tambah pelantun lagu Luar Biasa itu lagi, sebelum ini ada banyak pihak yang cuma melamar ibunya untuk menyertai pertandingan nyanyian namun semuanya ditolak.
“Ada banyak tawaran sebenarnya termasuklah Gegar Vaganza tetapi semua ditolak kerana mama enggan menyanyi lagi,” ujarnya.
Bercerita lebih lanjut tentang Janji Mama, kata Ismail lagu tersebut berkisar tentang pengorbanan seorang ibu.
“Mama saya banyak berkorban dan lalui pelbagak perkara disebabkan saya. Saya memang rapat dengan mama sejak kecil lagi. Kami selalu bersama.
“Idea untuk mencipta lagu ini tercetus ketika saya berselisih faham dengan mama. Kami berbual dalam telefon selama dua jam dan saling meluahkan rasa masing-masing.
“Lagu tersebut sudah pun siap dan menanti masa untuk dirakam sahaja dan akan dimuatkan dalam album baharu saya yang akan disiapkan dalam tahun ini juga,” kongsinya.
Dalam perkembangan lain, selain mengumpul material untuk menyiapkan album penuh, Ismail juga sudah mula mengembangkan kariernya ke Indonesia sejak akhir tahun lalu. – KOSMO! ONLINE














