SETIAUSAHA Agung Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Datuk Seri Windsor Paul John mengesahkan pihaknya sedia melakukan penilaian menyeluruh terhadap struktur pentadbiran Persekutuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Keputusan itu dibuat oleh badan pentadbiran bola sepak Asia itu selepas barisan Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco) meletakkan jawatan secara rasmi hari ini.
Windsor berkata, kehadiran pihaknya adalah atas jemputan FAM sendiri bagi membuat penilaian ke atas beberapa aspek terutamanya melibatkan urus tadbir pengurusan bola sepak.
Menurut Windsor, langkah itu bertujuan mengenal pasti sebarang kelemahan atau jurang yang wujud serta meletakkan tanda aras baharu yang bersesuaian dengan standard persatuan bola sepak di negara-negara lain.
“Kita nak lihat apa yang lemah dan apa jurang yang ada. Kita akan bentangkan laporan kepada pihak berkepentingan (stakeholder) pada Kongres FAM nanti untuk persetujuan.
“Namun sebelum itu, satu pasukan khas AFC yang diketuai oleh Vahid Kerdani (Timbalan Setiausaha Agung AFC) bersama konsultan akan membuat penilaian terperinci sebelum laporan akhir diserahkan kepada FAM.
“Matlamat kita untuk menjadikan FAM satu persatuan yang lebih mantap sebelum kongres diadakan,” katanya dalam sidang media di Wisma FAM, Kelana Jaya hari ini.
Mengulas mengenai operasi FAM dalam tempoh interim ini, Windsor turut menjelaskan bahawa mandat penuh telah diberikan kepada Setiausaha Agung dan Bendahari FAM untuk menguruskan hal ehwal kewangan.
“Ini tidak bercanggah dengan Statut FAM. Memandangkan Exco sudah tiada, prosedur membenarkan setiausaha agung dan bendahari menggalas tanggungjawab tersebut,” katanya. – KOSMO! ONLINE














