ISKANDAR PUTERI – Pasukan Shan United FC (SHUFC) berhasrat untuk menumbangkan Johor Darul Ta’zim (JDT) pada aksi Kumpulan B Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC) di Stadium Sultan Ibrahim, esok, meskipun sudah tidak berpeluang layak ke pusingan seterusnya.
Pengendalinya, Han Win Aung akui ia bukanlah tugas mudah untuk membawa pulang sekurang-kurangnya satu mata menentang Harimau Selatan yang disifatkan sebagai salah satu kelab terbaik ASEAN.
Beliau menuntut anak buahnya untuk menterjemahkan momentum kemenangan dalam liga domestik pada perlawanan penting itu setelah kelab Myanmar itu belum pernah tewas dalam 91 perlawanan sejak 2022.
“Kita tahu JDT adalah pasukan yang hebat dan kualiti aksi di peringkat domestik adalah berbeza dengan kejohanan bertaraf ASEAN ini.
“Bagaimanapun, saya berharap pemain dapat memberikan aksi yang terbaik sepanjang tempoh 90 minit biarpun sedar peluang kita untuk layak sudah tertutup,” katanya pada sidang media pra perlawanan Shopee Cup di Stadium Sultan Ibrahim, di sini hari ini.
Win Aung turut memberi bayangan akan menurunkan pemain pemain yang kembali menyertai pasukan, Moussa Bakayoko dalam misi memburu gol di stadium keramat JDT.
Tambahnya, SHUFC akan mempamer corak permainan bertahan bagi memastikan pasukan JDT perlu bekerja keras untuk meruntuhkan benteng pertahanan mereka.
“Kita sedia maklum JDT dibarisi ramai pemain import yang berkualiti dan terkenal dengan corak permainan menyerang serta berintensiti tinggi.
“Jadi, kita tidak akan mengawal pemain tertentu sahaja sebaliknya fokus kepada keseluruhan pemain yang masing-masing mampu menjaringkan gol,” katanya. – KOSMO! ONLINE














