REMBAU – Seramai 10 orang kena tahan (OKT) cedera selepas lori black maria yang mereka naiki hilang kawalan lalu terbalik di simpang empat lampu isyarat, Jalan Seremban-Tampin, dekat Pekan Rembau, di sini, hari ini.
Timbalan Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Azmi Ali berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 9.40 pagi itu, kesemuanya OKT bersama lima anggota pengiring dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dari Penjara Seremban menuju ke Mahkamah Rembau untuk tujuan menghidupkan waran menahan.
“Apabila tiba di persimpangan empat lampu isyarat, Jalan Seremban-Tampin, Rembau menghala ke Mahkamah Rembau ketika membelok ke kanan, lori hilang kawalan dan terbalik. Empat OKT yang cedera dibawa ke Hospital Rembau dengan ambulan bersama dengan dua anggota pengiring.
“Manakala, enam OKT yang mengalami luka ringan dibawa ke Hospital Rembau dengan lori bersama dua pengiring dan eskot MPV untuk rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini, hari ini.
Ujar Azmi, susulan kejadian berkenaan, Cawangan Pengawal Pengiring Ibu Pejabat Polis (IPD) Rembau dan Trafik IPD Rembau hadir ke tempat kejadian untuk memberi bantuan awal. – KOSMO! ONLINE














