KEMBALI membuka tirai 2026 dengan konsert Wings Orang Kita, Wings menyifatkan persembahan mega pada 31 Januari ini meletakkan hala tuju band rock itu untuk terus kekal relevan.
Bersama dua ahli baharu, Am selaku pemain gitar dan Pae (dram), kemasukan mereka melengkapkan kumpulan tersebut termasuk bersama Sham serta Edrie Hashim.
Sekali gus formasi itu diyakini mampu memantapkan lagi aksi mereka pada konsert yang bakal berlangsung di Zepp Kuala Lumpur nanti.
Tidak melihat konsert Orang Kita terlalu dekat dengan konsert Wings 40 Tahun pada 28 Oktober tahun lalu, kata vokalisnya Datuk Awie, kali ini konsepnya berbeza termasuk memperkenalkan lagu baharu.
Akuinya, selepas empat dekad dalam industri muzik tanah air, mereka sedia membuka bab baru apabila memilih bereksperimen dengan hala tuju muzik lebih segar, sejajar penyertaan Am atau Ilham dan Pae, namun masih mengekalkan DNA asal.
“Wings perlu ada percubaan untuk keluar dari kepompong lama, tetapi ‘trademark’ yang menjadi identiti band ini masih kekal seperti cara nyanyian saya kerana itu sukar diubah.
“Pembaharuan Wings adalah melalui penstrukturan semula hala tuju muzik kami dengan kehadiran dua anggota baharu, kita sama-sama lihat macam mana dia punya pergi.
“Kita perlu mengikut arus persada muzik sekarang, apa yang remaja dan anak muda mahukan. Transformasi ini juga dilakukan untuk memastikan band ini terus kekal relevan,” katanya pada sidang media konsert Wings Orang Kita, baru-baru ini.
Malah, Awie atau nama lengkapnya, Ahmad Azhar Othman, 57, memaklumkan pembaharuan itu diperkenalkan agar Wings selesa dengan senario sedia ada.
Katanya lagi, mereka harus mengutamakan kehendak masyarakat, bukan hanya mengikut selera sendiri dengan menghasilkan album baharu.
“Kita hidangkan mengikut kehendak golongan remaja , itu yang kita perlu ada dalam pembikinan album akan datang.
“Wings tak boleh kekal syok sendiri kerana kita hidup dalam masyarakat majmuk yang terdiri daripada pelbagai peringkat usia serta kaum.

“Sudah tentu Wings perlu buat sesuatu dengan memberi keutamaan kepada mereka dahulu, kemudian baru bikin produk yang kita rasakan sesuai,” ujarnya.
Pembaharuan itu akan dapat disaksikan peminat pada konsert Wings Orang Kita, di mana mereka bakal menyaksikan empat lagu baharu diperkenalkan dalam satu segmen nanti.
Segmen khas itu juga menjadi simbolik kepada penyertaan Am dan Pae dalam band tersebut serentak majlis memeterai perjanjian pada malam itu nanti.
Pada masa sama, Awie berkata, mereka juga sebulat suara melantik Edrie Hashim sebagai pengarah muzik kumpulan itu bagi mengukuhkan lagi hala tuju muzik Wings.
“Saya lantik Edrie kerana selama 36 tahun saya menanggung beban itu sendirian. Segala perkara berkaitan hal muzik semua saya uruskan.
“Tiba masanya untuk saya lepaskan kepada anggota yang mempunyai kredibiliti dan pengetahuan dalam persembahan live (langsung).
“Biarlah saya menyanyi saja, saya nak relaks. Saya dah tak nak fikir apa-apa lagi mengenai susunan muzik. Semua saya serahkan kepada Edrie,” katanya.
Berkenaan pembikinan album yang akan dirakam pada Ramadan ini, akuinya, katalog sedia ada mempunyai 18 seleksi dan pihaknya masih mencari 10 lagu lagi untuk dimuatkan dalam dua album.
Rakam album
Katanya, kedua-dua album terbabit juga menampilkan dua penerbit iaitu Datuk M Nasir, manakala sebuah album lagi akan diterbitkan Edrie bersama Wings.
“Kesemua 18 lagu yang sudah berada dalam simpanan kami bakal ‘dibogelkan’ dan dibuat semula, manakala rakaman akan dijalankan di Indonesia dan Australia.
“Saya ada dua studio, bukan tak boleh buat rakaman di studio saya tapi bila cerita tentang seni, kita mencari kepuasan.
“Apa kerja sekalipun kena rasa puas, kenapa saya pilih studio lain sebab nakkan kepuasan selain ingin cipta kelainan bersama ahli kumpulan.
“Sebelum ini saya pernah rakamkan dua album di bilik hotel dengan salah satunya Menakluk Kosmos. Bila berubah angin, kita akan dapat ketenangan.
“Ketenangan itu membuatkan kita rasa relaks nak siapkan album tanpa terkejar-kejar. Kami nak sampai ke tahap puas,” tuturnya.
Dianjurkan Rumah Produksi Merah, konsert tersebut membawa nafas baharu buat Wings dengan kemunculan dua ahli baharu, Pae dan Arm, sekali gus membuka lembaran era baharu tanpa menghilangkan identiti rock yang menjadi DNA Wings sejak sekian lama.
Persembahan terbabit juga memberi peluang kepada peminat yang terlepas menyaksikan konsert Wings 40 Tahun, selain menjanjikan beberapa kejutan eksklusif yang hanya boleh dirasai secara langsung pada malam konsert.
Sementara itu, konsert Wings Orang Kita anjuran Rumah Produksi Merah menawarkan tiket duduk dan berdiri bermula pada harga RM148, RM148, RM298 selain kategori premium RM358 dan RM428 sehingga VIP Box (RM8,800).














