PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh atlet para negara atas kejayaan cemerlang mereka mengharumkan nama Malaysia di Sukan Para ASEAN Thailand 2025 yang melabuhkan tirainya semalam.
Menerusi satu hantaran di media sosial, Anwar berkata, Malaysia berbangga dengan semangat juang luar biasa yang dipamerkan para atlet sehingga berjaya meraih keseluruhan 201 pingat merangkumi 64 emas, 64 perak dan 73 gangsa.
Tambahnya, pencapaian tersebut meletakkan kontinjen negara di tangga ketiga keseluruhan, sekali gus memperbaiki kedudukan berbanding edisi Sukan Para ASEAN 2023.
“Saya tersentuh melihat kegigihan kalian mengejar impian tanpa pernah menjadikan keterbatasan sebagai alasan,” katanya.
Pada masa sama beliau mengucapkan terima kasih kepada para atlet kerana menjadi inspirasi kepada seluruh rakyat Malaysia.
“Tahniah wira negara,” ucapnya. – KOSMO! ONLINE














