fbpx
Ahmad Shah Rizal (dua dari kiri) bersama barisan peguamnya.

Suami pengasas Dnars menang saman fitnah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SHAH ALAM – Mahkamah Tinggi di sini memerintahkan anak dan adik kepada pengasas produk kecantikan Dnars membayar ganti rugi sebanyak RM100,000 kepada suami Allahyarham Faziani Rohban, Ahmad Shah Rizal Ibrahim berhubung saman fitnah.

Hakim Datuk Khadijah Idris memutuskan demikian selepas membenarkan saman yang dikemukakan Ahmad Shah Rizal, 48, selaku plaintif.

Ia yang mana ganti rugi itu perlu dibayar Mohd. Faizul Rohban dan Irdiena Hakim Jasman yang masing-masing merupakan adik dan anak Allayarham Faziani selaku defendan pertama dan kedua.

Sementara itu Ahmad Shah Rizal dalam kenyataan medianya semalam memaklumkan fokus utama tindakan saman itu adalah berkaitan penerbitan kenyataan yang dibuat kedua-dua defendan antaranya plaintif berlaku curang terhadap isterinya dengan mengadakan hubungan sulit bersama wanita lain semasa Allahyarham masih hidup.

Selain itu plaintif juga didakwa bersikap kejam terhadap anak tiri termasuk kononnya cuba memerangkap anak tiri tersebut melalui laporan palsu, tamak dan cuba menyeleweng harta peninggalan Allahyarham serta tidak bertanggungjawab dalam menyediakan keperluan dan penjagaan anak tiri.

Kenyataan itu selanjutnya menyebut Faizul dan Irdiena turut mengemukakan tuduhan serius kononnya plaintif terlibat merancang pembunuhan Allahyarham.

Untuk rekod, isu kematian Allahyarham Faziani tidak pernah dibangkitkan oleh Ahmad Shah Rizal dalam saman fitnah itu sebaliknya ia dikemukakan oleh pihak defendan dalam pembelaan mereka.

Justeru mahkamah mendapati, Ahmad Shah Rizal telah difitnah manakala kesemua dakwaan dibuat defendan adalah tidak benar dan tidak berasas selain percaya bahawa tuduhan-tuduhan dibuat semata-mata untuk meraih simpati masyarakat, mensensasikan keadaan dan memburukkan nama baik dan kredibiliti plaintif.

Selaras dengan keputusan tersebut, mahkamah memerintahkan Faizul dan Irdiena untuk membayar gantirugi berserta satu injuksi kekal iaitu kedua-dua defendan membuat permohonan maaf Ahmad Shah Rizal secara terbuka di media arus perdana iaitu Harian Metro, Sinar Harian, Kosmo! dan Berita Harian termasuk di portal Ohmymedia dan akaun facebook peribadi milik kedua dua defendan.

Selain itu, kedua-dua defenden iaitu Faizul dan Irdiena (termasuk ejen atau pekerja mereka), adalah juga dihalang melalui satu perintah injunksi kekal yang mana mereka dilarang dari mengeluarkan sebarang penerbitan atau penulisan lanjut dengan tuduhan sama atau apa-apa kenyataan yang bersifat fitnah terhadap plaintif pada masa akan datang.

Plaintif juga menegaskan tindakan undang-undang terhadap kedua-dua defendan bukan atas dasar kepentingan kewangan, tetapi bertujuan membersihkan nama, mempertahankan maruah dan integriti peribadi serta memelihara nama baik keluarga, bagi menghentikan fitnah yang menjejaskan reputasinya selama ini.

“Saya menghormati keputusan mahkamah dan bersyukur kerana kebenaran telah ditegakkan. Fitnah yang dilemparkan bukan sahaja menyentuh diri saya dan keluarga tetapi juga menjejaskan maruah dan legasi Allahyarham.

Saya berharap keputusan ini menjadi pengajaran kepada semua bahawa fitnah dan tuduhan jahat tanpa asas yang dibina naratifnya mengikut hawa nafsu adalah sangat kejam,” kata Ahmad Shah Rizal yang turut mengatakan keputusan mahkamah adalah rekod rasmi yang perlu dihormati dan dipatuhi oleh semua pihak.

Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan masyarakat agar sedar akan kesan buruk menyebar fitnah dan membuat tuduhan palsu terhadap orang lain kerana ia bukanlah jalan penyelesaian yang bijak.

Sementara itu, peguam Nik Zarith Nik Moustapha yang mewakili plaintif Ketika dihubungi hari ini mengesahkan keputusan tersebut.

Selain Nik Zarith peguam lain yang mewakili plaintif ialah Azhar Arman Ali dan Aina Syazwani Mansor manakala defendan-defendan diwakili peguam Shaharuddin Mohamed. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN