KUALA LUMPUR – ST Rosyam Mart terus memperkukuh kedudukannya sebagai pasar raya borong halal 24 jam apabila pembukaan cawangan terbaharu di Jakel Square tampil memenuhi keperluan pengguna bandar dengan tawaran produk pelbagai pada harga berpatutan.
Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan Kumpulan Sri Ternak, Datuk Raymond Ho Cheng Hann berkata, pasar raya berkenaan diwujudkan sebagai destinasi membeli-belah sehenti yang mengutamakan kemudahan, harga mampu milik serta sokongan terhadap produk tempatan.
“ST Rosyam Mart Jakel Square menawarkan konsep membeli-belah sehenti yang menggabungkan kemudahan, harga berpatutan dan penghargaan terhadap produk tempatan.
“Matlamat kami jelas iaitu membantu individu dan perniagaan menjimatkan wang serta masa, sekali gus menikmati kehidupan yang lebih baik.
“Kami berharap pendedahan ini membolehkan pihak media berkongsi keunikan ST Rosyam Mart ke seluruh negara,” katanya selepas lawatan pasar raya pertamanya eksklusif bersama media di cawangan Jakel Square, di sini hari ini.
Beliau berkata, program tersebut memberi peluang kepada wakil media meninjau konsep pasar raya borong halal 24 jam, rangkaian produk yang luas serta komitmen syarikat dalam menawarkan harga mampu milik kepada rakyat Malaysia dan pelancong.
Menurutnya, cawangan Jakel Square yang dibuka secara rasmi pada 17 Disember 2025 merupakan pasar raya kesembilan ST Rosyam Mart dan yang kedua beroperasi di ibu negara.
Sementara itu, Pengarah ST Rosyam Mart, Datuk Rosyam Nor berkata, pihaknya teruja melihat kreativiti yang ditampilkan rakyat Malaysia menerusi pertandingan berkenaan.
“Kami berbangga dapat meraikan bakat tempatan yang kreatif dan inovatif, di samping mendekatkan lagi ST Rosyam Mart dengan pelanggan melalui pendekatan yang menyeronokkan serta interaktif,” katanya.
Program berkenaan turut diserikan dengan Majlis Penyampaian Hadiah Misi Mencari Raja Konten, iaitu pertandingan penciptaan kandungan digital sempena pembukaan cawangan tersebut.
Hadiah utama bernilai RM10,000 dimenangi oleh pencipta kandungan dari Kuala Lumpur, Muhamad Suhaimi Mohamad Kabid, manakala lima pemenang lain masing-masing menerima RM2,000 bagi kategori terpilih. – KOSMO! ONLINE














