GOMBAK – Polis berjaya menumpaskan aktiviti pemprosesan dan pembungkusan air ketum di sebuah premis kediaman di Rawang, di sini pada 22 Januari lalu.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, seramai enam individu ditahan melibatkan seorang lelaki tempatan serta tiga lelaki dan dua wanita warga asing berusia antara 21 hingga 38 tahun.
Menurutnya, pemeriksaan turut dijalankan ke atas sebuah kenderaan jenis Toyota Hiace yang berada di hadapan premis.
“Rampasan membabitkan 2,026 botol air ketum dengan isipadu keseluruhan 1,215 liter selain 20 kilogram (kg) daun ketum, pelbagai peralatan memproses serta sebuah kenderaan. Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM21,060 dan dipercayai untuk pasaran sekitar Lembah Klang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Noor Ariffin berkata, kesemua suspek tidak mempunyai rekod jenayah serta saringan awal air kencing pula negatif dan kes disiasat di bawah Seksyen 30(3), Akta Racun 1952. – KOSMO! ONLINE














