fbpx
PEARLY (kanan) dan Thinaah meraih kemenangan percuma di final kelmarin selepas Igarashi dan Takahashi menarik diri saat akhir. - AFP

Rexy puas hati aksi beregu utama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PENGARAH Kejurulatihan Beregu Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky percaya beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei dan beregu wanita, Pearly Tan-M. Thinaah sudah mula menunjukkan peningkatan.

Ia terbukti apabila dua beregu No. 1 negara itu menampilkan prestasi cukup baik merangkul gelaran pada Kejohanan Badminton Indonesia Masters yang melabuhkan tirainya kelmarin.

Rexy menganggap Jelajah Dunia Super 500 itu merupakan medan terbaik untuk menguji kemampuan diri sebelum menggalas misi lebih besar pada All England di Birmingham dari 8 hingga 13 Mac depan.

Beliau berkata, Tang Jie-Ee Wei pada awalnya memulakan saingan dengan agak goyah tetapi mula mendapat rentak sebenar ketika aksi separuh akhir dan momentum itu diteruskan pada perlawanan akhir.

“Pada pusingan awal Indonesia Masters, permainan Tang Jie-Ee Wei masih belum mantap tetapi mereka mula menunjukkan peningkatan ketika aksi suku akhir. Prestasi mereka memuncak semasa separuh akhir.

“Bagaimanapun, set pertama ketika di perlawanan akhir mereka dilihat agak tertunggu-tunggu,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Tang Jie-Ee Wei melakar sejarah tersendiri apabila menjadi beregu campuran pertama negara memenangi Indonesia Masters selepas menewaskan pasangan Denmark, Mathias Christiansen-Alexandra Boje 15-21, 21-17, 21-11.

Rexy juga menyifatkan prestasi Pearly-Thinaah sudah bertambah baik, namun masih ada beberapa aspek, termasuk dari segi fizikal perlu diperbaiki sebelum beraksi di All England nanti.

“Pearly dan Thinaah sudah kembali mendapatkan momentum mereka secara perlahan-lahan selain bergilir-gilir memainkan peranan masing-masing. Kita sedang bina aspek fizikal mereka untuk All England,” ujarnya.

Gandingan No. 2 dunia itu memastikan gelaran Indonesia Masters menjadi milik mereka tanpa perlu beraksi di perlawanan akhir selepas pihak lawan dari Jepun, Arisa Igarashi-Miyu Takahashi mengambil keputusan menarik diri pada saat akhir.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN